Sabtu, 15 Disember 2018 | 9:46am
- Foto AFP

Kematian kanak-kanak Guatemala beri tekanan kepada Washington

WASHINGTON: Kematian seorang kanak-kanak perempuan warga Guatemala minggu lalu memberi tekanan baru terhadap usaha pentadbiran Presiden Donald Trump, untuk menyekat kemasukan pendatang dari tengah benua Amerika.

Berita kematian itu menggemparkan pelbagai pihak, kerana kanak-kanak berusia tujuh tahun itu meninggal dunia ketika berada dalam tahanan agensi kawalan sempadan Amerika Syarikat.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia pada 8 Disember lalu di sebuah hospital di El Paso, Texas, kurang 24 jam selepas ditahan bersama 163 pendatang tanpa izin ketika menyeberangi sempadan di New Mexico.

Pihak berkuasa Guatemala mendedahkan identitinya sebagai Jackeline Caal, yang ditahan bersama bapanya, Nery Caal, 29 tahun.

Timbalan jurucakap Rumah Putih, Hogan Gidley, menganggap insiden berkenaan sebagai situasi tragik dan mengerikan, tetapi mengakui kejadian itu tidak boleh dielakkan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan boleh dicegah. Kita perlu bersama-sama menggubal satu undang-undang yang sesuai bagi menghalang mereka daripada bertumpu ke kawasan sempadan.

“Pada masa sama, undang-undang itu mesti menggalakkan mereka untuk menggunakan saluran yang betul, mengikut perundangan yang sah dan dengan itu kejadian ini boleh dibendung.

“Ia juga bertujuan membendung kejadian jenayah, insiden rogol dan penyeludupan kanak-kanak, sekali gus menghapuskan kegiatan pemerdagangan manusia,” katanya kepada wartawan. - AFP

Berita Harian X