Khamis, 27 Disember 2018 | 5:42pm
Dalam tempoh dua bulan lalu, Pengawal Sempadan AS menahan 139,817 pendatang di sempadan barat daya, berbanding 74,946 dalam tempoh sama setahun lalu. -Foto AFP

AS ambil langkah luar biasa tangani kebanjiran pendatang

EL PASO: Amerika Syarikat (AS) akan mengambil langkah perlindungan ‘luar biasa’ untuk menangani kebanjiran pendatang kanak-kanak dalam tahanan, kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kirstjen Nielsen semalam susulan kematian kanak-kanak Guatemala kedua dalam tahanan negara itu.

Nielsen bercadang mengunjungi rantau sempadan Mexico hujung minggu ini untuk menyaksikan imbasan perubatan dan keadaan di stesen Pengawal Sempadan, katanya dalam satu kenyataan ketika Kongres dan Donald Trump masih buntu berhubung tuntutan berbilion dolar Presiden AS itu bagi membiayai pembinaan tembok di sepanjang sempadan.

“Sebagai tindak balas terhadap kebanjiran tidak diduga kanak-kanak dalam tahanan kami, saya memutuskan siri langkah perlindungan luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan selepas kematian tahanan kanak-kanak dianggap ‘amat membimbangkan dan menyayat hati.’

Tambahnya, Nielsen meminta pakar daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk menyiasat ‘peningkatan kanak-kanak sakit menyeberangi sempadan’ dan mengenal pasti langkah selanjutnya dilakukan hospital sempadan sebagai persediaan.

Beliau berkata, pihaknya meminta kor perubatan Pengawal Pantai AS untuk menilai dan ‘membuat cadangan wajar’ berhubung program perubatan Pengawal Sempadan dan memohon tambahan profesional perubatan daripada Jabatan Pertahanan.

Pesuruh Jaya Perlindungan Kastam dan Sempadan AS, Kevin McAleenan memberi amaran semalam, agensi itu tidak berupaya menangani ribuan ketibaan, oleh kerana kebanyakan kemudahan dibina berdekad lalu untuk individu lelaki yang tiba bersendirian.

“Kami memerlukan bantuan daripada Kongres. Kami memerlukan bajet untuk penjagaan perubatan dan kesihatan mental kanak-kanak dalam kemudahan kami,” katanya kepada CBS News.

Budak lelaki kedua yang maut, Felipe Gomez, lapan, rebah selepas demam, antara hampir 25,000 pendatang kanak-kanak ditahan AS, menurut McAleenan, jumlah terbesar pernah direkodkan.

“Itu satu aliran amat besar. Ia amat berbeza daripada apa yang kita lihat sebelum ini,” katanya menambah, permulaan musim selesema meletakkan tekanan lanjut terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Nielsen berkata, dalam tempoh dua bulan lalu, Pengawal Sempadan menahan 139,817 pendatang di sempadan barat daya, berbanding 74,946 dalam tempoh sama setahun lalu.

Lebih 68,500 adalah ‘unit keluarga’ sementara hampir 14,000 lain adalah kanak-kanak tidak ditemani, katanya dengan sistem itu ditolak ke satu titik maksimum. -AFP

Berita Harian X