Ahad, 13 Januari 2019 | 10:52am
Castro (kanan) yang pernah menjadi Setiausaha Jabatan Perumahan dan Perancangan Bandar (HUD) di bawah pimpinan Obama, serta anggota kabinet paling muda ketika itu, bersedia mencabar Donald Trump dalam pilihan raya 2020. -Foto AFP

Anak didik Obama umum jadi calon Presiden AS 2020

SAN ANTONIO: Julian Castro, bekas datuk bandar di Texas di sini dan seorang anggota Kabinet era bekas Presiden Barack Obama, melancarkan cubaan menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) pertama keturunan Hispanik, mengetengahkan mesej harapan dan kepelbagaian ketika rakyat terbabit perdebatan hangat berhubung isu imigresen dan keselamatan sempadan.

“Saya adalah calon untuk Presiden Amerika Syarikat,” kata Castro, 44, kepada kumpulan besar penyokong di Plaza Guadalupe bersejarah di sini.

Sering digelar bintang meningkat naik dalam Parti Demokrat, Castro yang pernah menjadi Setiausaha Jabatan Perumahan dan Perancangan Bandar (HUD) di bawah pimpinan Obama, serta anggota kabinet paling muda ketika itu, dijangka menjadi sebahagian calon meluas dan pelbagai yang bersedia mencabar Donald Trump.

Ketika kerajaan persekutuan ditutup sebahagiannya apabila Presiden AS itu menuntut dana membina tembok di sempadan Mexico, Castro memberi mesej bertentangan.

Beliau berkata, bandar ini, dihuni hampir dua pertiga penduduk Hispanik, ‘mewakili masa depan AS, pelbagai, meningkat pantas serta optimis.’

“Ya, kita perlu memiliki keselamatan sempadan, namun ada cara bijak dan berperikemanusiaan untuk melakukannya. Tiada cara lebih kejam berbanding memenjarakan kanak-kanak untuk memastikan kita selamat.

“Kita mengatakan tidak kepada tembok dan ya untuk membangunkan masyarakat,” katanya disambut sorakan kuat penyokong.

Sambil menggesa penyokong melihat sekitar kejiranan kolar biru di mana beliau membesar, Castro berkata: “Tiada calon yang lahir di sini, namun dengan impian besar dan kerja keras, tiada apa yang mustahil di negara ini.”

Beliau menambah, neneknya, Victoria sudah pasti kagum apabila tiba dari Mexico pada 1922 (bekerja sebagai amah dan tukang masak), mengetahui seorang cucunya mendapat tempat dalam Kongres dan seorang lagi menjadi calon presiden.

Saudara kembar Castro, Joaquin, yang turut diperkenalkan semalam, adalah adalah anggota Kongres. Kedua-duanya datang ke acara itu bersama menaiki bas yang satu ketika dulu membawa mereka ke sekolah awam.

Bakat Castro yang petah berbicara, berpengalaman dalam kabinet Obama serta bekas datuk bandar ketujuh terbesar negara itu, ditambah karisma berwibawanya, mungkin membantunya menjadi calon atasan Demokrat.

Profil Castro meningkat mendadak pada 2012 apabila beliau menjadi rakyat berketurunan Latin pertama membuat ucaptama dalam konvensyen pencalonan kebangsaan Demokrat.

Seorang calon Latin dijangka menjana semangat di kalangan populasi besar dan meningkat pengundi Hispanik. Kira-kira dua pertiga daripada mereka menyokong Hillary Clinton pada 2016.

Namun beliau terpaksa bersaing dalam kalangan ahli politik terkenal seperti bekas Naib Presiden Joe Biden, senator Elizabeth Warren, Bernie Sanders dan Kamala Harris serta mungkin ahli perniagaan jutawan, Michael Bloomberg.

Seorang lagi anggota ‘telegenik’ Demokrat, anggota Kongres Tulis Gabbard, 37, dari Hawaii, seorang peluncur sepanjang hayat, mengumumkan kelmarin, beliau juga akan menjadi calon presiden parti itu.

Castro adalah calon ketiga dengan latar belakang Latin cuba menjadi presiden sejak beberapa tahun lalu, selepas dua anggota Republikan, Senator Ted Cruz dari Texas dan Marco Rubio dari Florida, gagal berdepan Trump dalam kempen utama parti 2016. -AFP

1283 dibaca
Berita Harian X