Selasa, 15 Januari 2019 | 11:47am
Rahaf ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson Toronto, Ontario, Kanada pada Sabtu lalu. Foto Reuters

Rahaf mahu sambung pelajaran, bekerja di Kanada

TORONTO: Rahaf Mohammed Al Qunun mendedahkan bahawa beliau mahu meneruskan pelajaran, mencari pekerjaan dan menjalani kehidupan seharian seperti orang lain ketika berada di Kanada, iaitu sesuatu yang tidak dapat dilakukannya di Arab Saudi.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual media tempatan Kanada di sini, semalam.

“Saya berasa sangat gembira untuk berada di Kanada. Ia amat berbaloi dengan segala risiko yang terpaksa saya ambil untuk tiba di sini,” katanya kepada Perbadanan Penyiaran Kanada (CBC), iaitu dua hari selepas tiba Toronto dari Bangkok.

Remaja warga Arab Saudi itu meraih perhatian masyarakat antarabangsa minggu lalu, apabila mengurung diri di dalam bilik hotel di lapangan terbang di Bangkok, bagi mengelak dihantar pulang kepada keluarga, yang menolak tuduhan menderanya.

Rahaf juga enggan bertemu bapa dan abangnya, yang tiba di Bangkok bagi membawanya pulang ke Arab Saudi.

Namun, nasibnya berubah selepas Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) mengiktirafnya sebagai pelarian dan disusuli kesediaan Kanada memberi perlindungan kepadanya.

Dalam temubual dengan CBS itu, Rahaf turut berkata: “Saya rasa saya tidak akan dapat mencapai impian saya, selagi saya berada di Arab Saudi”. - Reuters

674 dibaca
Berita Harian X