Rabu, 16 Januari 2019 | 12:06pm
PENYANYI terkenal Amerika Syarikat, Rihanna. - Foto Reuters

Rihanna saman bapa salah guna nama 'Fenty'

LOS ANGELES: Penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Rihanna mengenakan tindakan undang-undang terhadap syarikat milik bapanya kerana menggunakan cap dagang Fenty miliknya dan menyalahgunakan nama syarikat yang ditubuhkan pada 2017 itu untuk tujuan perniagaan.

Pelantun lagu ‘Diamonds’ atau nama sebenarnya Robyn Rihanna Fenty, memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah persekutuan Los Angeles semalam, dengan menuduh Ronald Fenty dan dua orang rakan niaganya menipu dan membuat iklan palsu menggunakan nama syarikat pencari bakat dan produksi, Fenty Entertaiment.

Penyanyi kelahiran Barbados itu yang menggunakan cap dagang Fenty untuk menjual kosmetik, pakaian dan kasut, memohon mahkamah mengeluarkan injunksi untuk menghentikan syarikat bapanya daripada menggunakan nama Fenty dan menuntut sejumlah ganti rugi yang tidak didedahkan.

Menurut tuntutan itu, Rihanna sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan Fenty Entertaiment dan syarikat itu menyalahgunakan namanya dan menyalahtafsirkan dirinya mempunyai kepentingan dengan syarikat itu.

Dalam beberapa kes yang membabitkan Fenty Entertainment, syarikat itu dikatakan menerima tawaran pada 2017 bagi pihak Rihanna untuk melakukan 15 persembahan di Amerika Latin dengan bayaran AS$15 juta (RM61.70 juta).

Kes kedua pula, Fenty Entertainment dikatakan menipu dengan mengatakan bahawa penyanyi itu terbabit dengan projek hotel butik.

Tuntutan itu juga mengatakan meskipun sudah berulang kali diberi peringatan, mereka tidak diberi kebenaran untuk menggunakan nama dagangan Fenty atau bercakap bagi pihak Rihanna, Ronald Fenty dan rakan niaganya masih meneruskan perbuatan itu.

Fenty Entertainment tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan. - Reuters

568 dibaca
Berita Harian X