Jumaat, 18 Januari 2019 | 9:04am
Seekor jerung spesies Great White dipercayai antara yang terbesar pernah ditemui, di pantai Hawaii. - Foto AFP
Seekor jerung spesies Great White dipercayai antara yang terbesar pernah ditemui, di pantai Hawaii. - Foto AFP
Jerung betina kira-kira enam meter ini dikenali sebagai ‘Deep Blue’. - Foto AFP
Jerung betina kira-kira enam meter ini dikenali sebagai ‘Deep Blue’. - Foto AFP

Jerung Great White gergasi muncul di Hawaii

LOS ANGELES: Kelibat seekor jerung spesies Great White dipercayai antara yang terbesar pernah ditemui, dilihat di pantai Hawaii, kata seorang penyelam yang berenang bersama haiwan pemangsa itu Selasa lalu.

Jerung betina kira-kira enam meter yang dikenali sebagai ‘Deep Blue’ itu mengejutkan penyelam ketika dilihat bersama sekumpulan jerung lain, sedang makan bangkai seekor paus sperma di pantai Oahu.

“Kami nampak beberapa ekor jerung harimau, sebelum ia muncul menyebabkan jerung lain lari,” kata penyelam Ocean Ramsey kepada Honolulu Star Adviser.

“Gergasi lembut yang menakjubkan ini hanya ingin menggunakan bot kami sebagai tempat menggaru. Kami keluar ke laut ketika matahari terbit dan ia terus bersama kami sepanjang hari,” tambah Ramsey.

Ramsey berkata, haiwan yang berusia sekurang-kurangnya 50 tahun dengan berat kira-kira 2.5 tan metrik ini sangat lebar dan mungkin bunting.

Jerung Great White jarang dilihat di Hawaii, kerana perairannya yang terlalu panas.

‘Deep Blue’ yang mempunyai akaun Twitter sendiri dan menjadi subjek dokumentari beberapa tahun lalu, pernah dilihat di sekitar Pulau Guadalupe di Mexico sebelum ini. - AFP

Berita Harian X