Jumaat, 1 Februari 2019 | 7:41am
KANYE West. - Reuters

Kanye West selesai kes 'Life of Pablo' dengan peminat

NEW YORK: Penyanyi Kanye West menyelesaikan tuntutan undang-undang yang mendakwa rapper dan usahawan itu menipu peminat untuk melanggan perkhidmatan streaming dalam talian Tidal dengan tweet bahawa ia satu-satunya tempat untuk mendapatkan albumnya ‘The Life of Pablo’ pada 2016.

Rabu lalu, West, ibu pejabat korporat Tidal (yang turut dimiliki rapper Jay-Z) dan plaintif, Justin Baker-Rhett memfailkan satu persetujuan bersama dengan Mahkamah Daerah AS di Manhattan untuk menggugurkan kes itu yang pada asalnya difailkan di San Francisco pada April 2016.

Syarat persetujuan bersama itu bagaimanapun tidak didedahkan. Tidal dan peguam yang mewakili semua pihak terbabit juga enggan mengulas lanjut.

Baker-Rhett mendakwa mendaftar untuk perkhidmatan streaming Tidal berharga AS$9.99 sebulan (RM40.90) selepas selepas terpengaruh dengan tweet West pada 15 Februari 2016, bahawa ‘Pablo’ ‘tidak mungkin akan berada di Apple dan ia tidak akan dijual. Ia hanya boleh didapati di Tidal’.

Plaintif mendakwa ia adalah taktik untuk menambah pelanggan Tidal yang sedang bergelut dengan masalah dan terbukti apabila satu setengah bulan kemudian, West mula mengeluarkan ‘Pablo’ di Apple, Spotify dan laman webnya sendiri.

Menurut aduan itu yang memetik Tidal, ‘Pablo’ disiarkan sebanyak 250 juta kali dalam tempoh 10 hari sejak dilancarkan. - Reuters

Berita Harian X