Rabu, 13 Februari 2019 | 9:37pm
Senator Amerika Syarikat, Ron Wyden meminta Apple’s App Store Apple dan Google Play Store berhenti mempromosikan portal kerajaan Arab Saudi iaitu ‘Absher’.

Lelaki Arab Saudi kesan isteri, anak perempuan dengan Absher

WASHINGTON: Apple dan Google didesak supaya mengeluarkan aplikasi yang membolehkan lelaki mengesan lokasi isteri atau anak perempuan mereka di Arab Saudi.

Dalam surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kedua-dua syarikat gergasi teknologi itu, Senator Amerika Syarikat (AS), Ron Wyden meminta Apple’s App Store Apple dan Google Play Store berhenti mempromosikan portal kerajaan Arab Saudi iaitu ‘Absher’.

Katanya, ia digunakan untuk meneruskan aktiviti terkutuk memantau dan mengawal wanita.

Aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma, ia membolehkan warga dan penduduk Arab Saudi mengakses beberapa perkhidmatan termasuk pasport, sijil kelahiran atau membayar saman.

Selain itu, aplikasi terbabit membolehkan lelaki di negara berkenaan menetapkan bila dan ke mana wanita di bawah ‘jagaan’ mereka termasuk isteri dan anak perempuan yang tidak berkahwin boleh pergi.

Difahamkan, apabila isteri atau anak perempuan mereka menggunakan pasport di lintasan sempadan atau di kaunter imigresen lapangan terbang, aplikasi itu akan menghantar SMS.

“Keluarga diraja Arab Saudi menyekat atau menindas wanita, namun syarikat Amerika tidak sepatutnya membenarkan atau membantu amalan patriarki ini.

“Dengan membenarkan aplikasi ini dalam perniagaan, syarikat kamu memudahkan lelaki Arab Saudi mengawal ahli keluarga mereka menerusi telefon pintar dan mengehadkan pergerakan mereka.

“Ini bertentangan dengan jenis identiti masyarakat yang kononnya kamu sokong dan pertahankan,” menurut Wyden dalam surat kepada CEO Apple, Tim Cook dan CEO Google, Sundar Pichai.

Apple tidak menyatakan jumlah muat turun untuk aplikasi itu, namun menurut aplikasi Google Play Store, Absher sudah dimuat turun lebih sejuta kali. - Agensi/ Aljazeera

Berita Harian X