Khamis, 28 Februari 2019 | 11:20am
PERDANA Menteri Kanada, Justin Trudeau. - Foto AFP

PM Kanada sangkal dakwaan bekas menteri

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, yang berhadapan krisis terbesar pentadbirannya, menyangkal keterangan bekas Menteri Kehakiman yang menyatakan pegawai kerajaan menekan beliau supaya membantu firma gergasi mengelakkan perbicaraan rasuah.

Dakwaan oleh Jody Wilson-Raybould itu mendorong pembangkang utama Kanada, menggesa Trudeau letak jawatan cuma beberapa bulan menjelang pilihan raya persekutuan Oktober ini.

Wilson-Raybould memberitahu jawatankuasa kehakiman Parlimen bahawa beliau didatangi Trudeau berhubung apa yang dikatakan usaha tegas beberapa pegawai supaya membantu firma pembinaan, SNC-Lavalin Group Inc, mengelakkan perbicaraan atas tuduhan merasuah pegawai Libya.

“Saya tegas menyatakan, sama seperti sejak awal, bahawa saya dan kakitangan selalu bertindak secara profesional.

“Saya langsung tidak bersetuju dengan kenyataan Wilson-Raybould,” katanya kepada sidang akhbar yang disiarkan di televisyen di Montreal, menepis tuntutan pemimpin Parti Konservatif, Andrew Scheer, supaya beliau meletak jawatan.

Wilson-Raybould berkata, pegawai mengenakan ‘tekanan konsisten dan berpanjangan’ ke atasnya sejak September hingga Disember tahun lalu untuk memastikan SNC-Lavalin cuma membayar jumlah denda tinggi berbanding dibicarakan. — Reuters

Berita Harian X