Isnin, 4 March 2019 | 12:54pm
PUTING beliung yang melanda di Dothan, Alabama. - Foto AFP

Angka korban puting beliung meningkat 22

ALABAMA: Angka kematian akibat puting beliung yang melanda Daerah Lee, Alabama, semalam meningkat kepada 22 dan jumlah itu dijangka meningkat ketika penyelamat mencari mangsa di bawah sisa runtuhan rumah yang musnah, kata pihak berkuasa dan media.

Pekerja kecemasan mengharungi malam menakutkan mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia dan cedera daripada runtuhan rumah dan premis perniagaan.

Ribut, termasuk sekurang-kurangnya satu kejadian puting beliung, menumbangkan pokok dan memusnahkan rumah di Georgia, menyebabkan bekalan elektrik terputus kepada 21,000 pelanggan, kata jurucakap Georgia Power, Meredith Stone.

Di Twitter, Presiden Donald Trump menggesa penduduk Alabama dan wilayah terjejas akibat ribut berkenaan supaya berhati-hati dan selamat.

“Puting beliung dan ribut amat ganas dan banyak lagi akan berlaku.

“Kepada keluarga dan rakan mangsa, dan mangsa yang cedera, Tuhan memberkati semua!”, katanya.

Pusat Perubatan Alabama Timur di Opelika berkata dalam kenyataan, ia merawat lebih 40 pesakit akibat puting beliung dan dijangka menerima ramai lagi. — Reuters

Berita Harian X