Khamis, 7 March 2019 | 7:41am
JOSE Huerta (tengah) melawat sebuah kem perlombongan di hutan Amazon. - Foto EPA
JOSE Huerta (tengah) melawat sebuah kem perlombongan di hutan Amazon. - Foto EPA

Pangkalan tentera halang hutan Amazon ditebang dibuka

TAMBOPATA (PERU) : Sebuah pangkalan tentera di dalam hutan Amazon dibuka kerajaan Peru Selasa lalu bagi membanteras kegiatan perlombongan haram yang juga punca utama penebangan hutan terbesar dunia itu.

“Kerajaan mengambil tindakan politik seperti ini untuk menghapuskan aktiviti perlombongan haram,” kata Menteri Pertahanan, Jose Huerta di majlis pembukaan pangkalan berkenaan di pusat perlindungan alam semula jadi Tambopata.

Pusat berkenaan terletak di dalam kawasan Madre de Dios iaitu lokasi utama perlombongan haram di Peru.

Pangkalan tentera terbabit beroperasi menggunakan sebuah kem balak lama yang ditinggalkan pelombong haram dua minggu lalu apabila kerajaan Peru memulakan operasi ‘Merkuri’ untuk menghapuskan aktiviti mereka.

“Kami akan tinggal di sini selama diperlukan,” kata Huerta sambil menambah, lebih banyak pangkalan tentera bakal diwujudkan selepas ini.

Menteri Alam Sekitar, Fabiola Munoz yang turut menghadiri majlis pembukaan pangkalan tentera itu berkata, kawasan Madre de Dios kaya dengan kepelbagaian biodiversiti dan berpotensi besar untuk dimajukan sebagai tarikan pelancong.

Katanya, pelancong ke Tambopata, 1,000 kilometer di timur Lima menghabiskan lebih banyak wang di situ berbanding Machu Picchu, tarikan utama pelancong negara berkenaan yang juga ibu negara empayar Inca. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X