Isnin, 1 April 2019 | 10:23am
Nipsey Hussle. - Foto AFP

Calon anugerah Grammy mati ditembak

WASHINGTON: Calon anugerah Grammy, penyanyi rap, Nipsey Hussle ditembak mati di bandar Los Angeles, lapor media tempatan.

Jurucakap jabatan polis Los Angeles tidak dapat mengesahkan identiti mangsa tetapi AFP diberitahu seorang mati dan dua yang lain cedera dalam kejadian tembakan, petang semalam dan polis sedang mencari penembak.

Sejam sebelum kejadian, Hussle, 33, yang ketika remajanya mempunyai kaitan dengan kumpulan samseng di Los Angeles memuat naik tulisan di laman Twitter: “Mempunyai musuh yang kuat adalah rahmat”.

Kematian penyanyi rap itu dirasai seluruh nama besar dalam industri muzik Amerika Syarikat.

Penyanyi Snoop Dogg menulis di laman Instagram: “Pergi terlalu cepat. Saya sangat sedih ketika ini dan teringat kenangan kami bersama”.

Bintang terkenal, Rihanna turut bersedih dengan kematian Hussle, menerusi laman Instagram dia menulis: “Perkara ini tidak masuk akal! Semangat saya terganggu! Maafkan saya, ia berlaku kepada kamu,” tulisnya.

Mendiang Hussle, bertahun berusaha mencipta nama mula menjual karya campuran lagunya dan bintang hip-hop Jay-Z pernah membeli 100 lagu dengan setiap satu bernilai AS$100 (RM408)

Hussle tercalon menerusi album ‘Victory Lap’ dalam kategori Album Rap terbaik. - AFP

Berita Harian X