Khamis, 25 April 2019 | 2:24pm
Joe Biden mahu mencabar Trump dalam pemilihan Presiden AS 2020, percubaan kali ketiganya. -Foto AFP

Joe Biden umum pencalonan kali ketiga Presiden AS 2020

WASHINGTON: Selepas beberapa bulan dalam teka-teki, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan mengumumkan pencalonannya sebagai Presiden AS hari ini, meletakkan veteran Demokrat itu sebagai calon hadapan yang mahu mencabar Donald Trump pada 2020.

Ahli politik kanan berusia 76 tahun itu, dijangka membuat pengumuman menerusi video dalam talian, akan menjadi anggota Demokrat paling berpengalaman dan ternama dalam perlumbaan itu, bekas Naib Presiden popular yang menguasai awal pemilihan susulan perancangan kempen selama berbulan malah bertahun.

Biden, yang mana tarikan kelas pekerja kekal utuh walaupun hampir setengah kurun berkecimpung dalam politik AS, dilihat sebagai calon selesa dan dikenali pengundi negara itu yang bakal menapis kira-kira 20 anggota Demokrat yang kini secara rasmi mengintai jawatan berkenaan.

Namun kontroversi terbaharu berhubung gayanya yang gemar menyentuh wanita mungkin menjejaskan peluang memasuki perlumbaan akhir Demokrat.

Pembantu Biden masih mengunci mulut minggu ini berhubung kempen awal. Namun individu yang biasa dengan rancangan anggota Demokrat itu memberitahu media AS, selepas pelancaran hari ini, beliau akan menuju ke Pittsburgh, dalam Pennsylvania, di mana Trump menang pada 2016, untuk berucap di hadapan kesatuan buruh, kemunculan pertamanya selepas pencalonan.

Jumlah calon rekod bermaksud Biden akan berdepan kepelbagaian tidak dijangka ketika beliau membuat percubaan ketiganya sebagai presiden, susulan dua cubaan gagal pada 1988 dan 2008.

Selepas kematian anak lelakinya, Beau akibat kanser, Biden melepaskan kempen presiden pada 2016. -AFP

376 dibaca
Berita Harian X