Rabu, 15 Mei 2019 | 7:59am
Paderi Katolik, Curtis Wehmeyer ditahan pada 2012 dan dijatuhkan hukuman lima tahun penjara. - Foto AP
Paderi Katolik, Curtis Wehmeyer ditahan pada 2012 dan dijatuhkan hukuman lima tahun penjara. - Foto AP

Mangsa cabul saman Vatican minta dedah butiran paderi

WASHINGTON: Lima rakyat Amerika Syarikat yang mendakwa dicabul paderi Katolik memfailkan saman terhadap Vatican semalam untuk memaksa ia membuka arkib dan menyerahkan nama serta maklumat mengenai paderi yang melakukan jenayah itu.

Plaintif ‘terjejas disebabkan perbuatan defendan dan dasar tidak melaporkan kes disyaki penderaan kanak-kanak kepada pegawai penguat kuasa undang-undang’, menurut saman yang difailkan di mahkamah persekutuan AS di negeri Minnesota.

“Amalan badan tertinggi di Vatican yang mempertahankan, menyembunyikan dan menyorokkan bukti jenayah dilakukan ejennya dan bekas ejen membahayakan ramai kanak-kanak dan meletakkan mereka dalam keadaan tidak selamat,” menurut saman.

Seorang daripada plaintif, Stephen Hoffman, berkata pada sidang akhbar mengenai matlamat saman itu adalah untuk memastikan ‘sesuatu seperti ini tidak akan berlaku lagi’.

“Saya tidak mahu orang lain melalui apa yang saya dan dua saudara saya lalui.

“Saya cuma mahu Vatican melakukan apa yang betul,” katanya.

Hoffman dan saudara lelakinya, Luke dan Benedict, berkata mereka dicabul paderi Katolik, Curtis Wehmeyer, yang ditahan pada 2012, dan dijatuhkan hukuman lima tahun penjara selepas ibu mereka melaporkan kes itu, mencetuskan skandal yang menyebabkan peletakan jawatan paderi besar negeri berkenaan pada 2015.

Seorang lagi plaintif, Jim Keenan, 51, berkata beliau dicabul sepanjang 1970-an oleh paderi yang tindakannya didokumenkan secara rahsia oleh gereja.

“Saya tampil hari ini untuk menyaman Pope dan Vatican, kerana ia perlu dihentikan.

“Mereka tidak mengatasi kita,” katanya kepada wartawan. — AFP

Berita Harian X