Isnin, 27 Mei 2019 | 8:58am

Serangan ransomware, penggodam tuntut tebusan RM319,409

SAN FRANCISCO: Serangan ransomware melumpuhkan bandar raya Baltimore yang menyebabkan semua emel dan gerbang bayaran atas talian terhenti.

Susulan itu, penggodam komputer menuntut tebusan AS$76,280 (RM319,409) untuk melepaskan semua sistem bandar raya itu.

Serangan yang melumpuhkan bandar raya itu adalah ciptaan Agensi Keselamatan Negara digelar ‘EternalBlue’, yang digunakan dalam serangan siber berprofil tinggi termasuk ‘Wannacry’ pada Mei 2017.

Pakar keselamatan menyatakan penggodam menggunakan ‘EtenalBlue’ untuk mengeksploitasi kelemahan dalam beberapa versi sistem Window XP dan Vista, membolehkan pihak luar melaksanakan arahan jauh ke atas sasaran mereka.

Menurut laporan Baltimore Sun, nota tebusan yang ditinggalkan pada komputer bandar raya itu mengenalkan ransomware sebagai RobbinHood dan menuntut bayaran tiga Bitcoin yang menyamai dengan AS$17,600 (RM73,696) pada harga terkini bagi setiap sistem atau 13 bitcon (bernilai AS$76,280) untuk memulihkan semula seluruh sistem bandar raya itu.

“Kami tidak akan bercakap lagi, apa yang kami mahu adalah wang! Cepat!,” menurut nota.

Sejak 7 Mei lalu, penduduk Baltimore berhadapan serangan siber.

Semua sistem ditutup, menyukarkan pembayaran bil dan perbelanjaan sehari-hari.

Pegawai berkata, mereka tidak akan membayar tebusan manakala jabatan teknologi maklumat cuba mengatasi keadaan itu. — Agensi

248 dibaca
Berita Harian X