Sabtu, 1 Jun 2019 | 10:46am
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Foto Reuters

Trump bakal lancar kempen pilihan raya 2020

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini secara rasminya mengumumkan pelancaran kempen pilihan raya 2020 pada 18 Jun di Florida.

Beliau bakal menganjurkan satu perhimpunan ditemani isteri, Melania, naib Presiden Mike Pence dan isteri, Karen di Amway Center di Orlando, Florida yang mampu memuatkan 20,000 orang, katanya di Twitter.

“Saya akan mengumumkan penggal kedua persaingan saya merebut kerusi Presiden pada 18 Jun di Orlando. Sertai kami di perhimpunan bersejarah ini!” katanya.

Trump yang menyifatkan Florida sebagai rumah kedua beliau, memenangi pilihan raya presiden pada 2016.

Bagaimanapun, beliau berdepan desakan anggota Demokratik yang mahu memecatnya, termasuk beberapa anggota parti pembangkang yang cuba menghalangnya.

Buat masa ini, presiden Parti Republikan itu menumpukan perhatiannya terhadap pesaing utama, pemimpin Demokrat Joe Biden, yang juga bekas naib presiden.

Biden, yang pernah menjadi senator selama enam penggal sebelum berkhidmat sebagai naib kepada presiden Barack Obama, dilihat mendahului dalam pengundian awal.

Pada November 2016, Trump mengalahkan calon Demokrat Hillary Clinton untuk memenangi White House.

Biden yang cenderung memperjuangkan nasib kelas pekerja Amerika sama seperti Trump, yakin dapat menawan semula pengundi kulit putih, kolar biru yang sebelum ini memilih Republikan pada 2016. Reuters/AFP

237 dibaca
Berita Harian X