Sabtu, 1 Jun 2019 | 2:22pm
Sebahagian ikan paus kelabu terdampar di sepanjang Pantai Barat AS. - Foto Anchorage Daily News
Sebahagian ikan paus kelabu terdampar di sepanjang Pantai Barat AS. - Foto Anchorage Daily News

Ahli biologi AS siasat kematian 70 paus kelabu

ANCHORAGE: Pakar biologi kerajaan Amerika Syarikat (AS) menjalankan siasatan khas berikutan kematian sekurang-kurangnya 70 ikan paus kelabu yang terdampar di pantai beberapa bulan lalu.

Pihak berkuasa berkata, paus berkenaan terdampar di sepanjang Pantai Barat AS dari California ke Alaska kebanyakannya dalam keadaan kurus kering.

Pentadbiran Laut dan Atmofera Kebangsaan (NOAA) mengisytiharkan ia sebagai ‘kematian yang luar biasa’, klasifikasi yang memerlukan lebih banyak siasatan dan sumber untuk menentukan puncanya.

Setakat tahun ini, 37 paus kelabu muncul di perairan California, tiga di Oregon, 25 di Washington dan lima di Alaska, kata pegawai Perkhidmatan Marin dan Perikanan NOAA. Lima lagi ditemui di British Columbia.

Terkini, beberapa paus ditemui terdampar di Alaska minggu lalu berhampiran Chignik Bay di semenanjung Alaska.

Pakar mengesyaki kematian itu disebabkan oleh kekurangan sumber makanan di perairan yang semakin panas di Laut Bering dan Laut Chukchi di utara Alaska kerana kebanyakan paus yang ditemui hanya mempunyai sedikit lemak dalam badan.

Kali terakhir sejumlah besar paus kelabu ditemui terdampar di Pantai Barat AS adalah pada 1999 dan 2000 dipercayai ada kaitan dengan pemanasan laut akibat fenomena El Nino. - Reuters

Berita Harian X