Sabtu, 15 Jun 2019 | 1:51pm
Pendedahan itu dikeluarkan Rumah Putih dan difailkan dengan Pejabat Etika Kerajaan menunjukkan, perolehan minimum Ivanka dan Kushner sebanyak AS$28 juta (RM116.69 juta) dijana daripada aset dinilai lebih AS$180 juta (RM750.14 juta). -Foto Agensi

Ivanka Trump, Kushner peroleh pendapatan AS$135 juta pada 2018

WASHINGTON: Ivanka Trump dan Jared Kushner memperoleh pendapatan sehingga AS$135 juta (RM562.61 juta) pada tahun kedua sebagai pembantu Presiden Donald Trump, dijana menerusi pegangan meluas hartanah, saham dan bon serta perjanjian penulisan buku, menurut pendedahan kewangan dikeluarkan semalam.

Pegangan Ivanka dalam hotel keluarganya di sini tidak jauh dari Pejabat Oval menjana keuntungan AS$3.95 juta (RM16.46 juta) pada 2018, tidak jauh beza setahun lalu, menurut laporan The Associated Press.

Hotel itu, tempat tumpuan diplomat asing dan pelobi, menjadi pusat tuntutan dua saman persekutuan mendakwa Trump melanggar undang-undang Perlembagaan terhadap bayaran asing kerajaan kepada Presiden AS.

Satu lagi pegangan besar Ivanka adalah tabung amanah yang termasuk perniagaan peribadi menjual beg tangan, kasut dan aksesori, menjana keuntungan sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM4.17 juta) pada 2018, menurun berbanding AS$5 juta (RM20.84 juta) tahun sebelumnya.

Pada Julai 2018, Ivanka mengumumkan beliau bercadang menutup syarikat fesyennya untuk memfokuskan tugas sebagai penasihat Rumah Putih.

Pendedahan di pihak suaminya, Kushner menunjukkan, beliau memperoleh ratusan ribu dollar hasil sewaan pangsapuri di Bandaraya New York dan memiliki pegangan dalam firma pelaburan hartanah, Cadre bernilai sekurang-kurangnya AS$25 juta (RM104.19 juta).

Pendedahan itu dikeluarkan Rumah Putih dan difailkan dengan Pejabat Etika Kerajaan menunjukkan, perolehan minimum pasangan itu sebanyak AS$28 juta (RM116.69 juta) dijana daripada aset yang dinilai lebih AS$180 juta (RM750.14 juta).

Antara puluhan sumber pendapatan Ivanka adalah bayaran pendahuluan buku bertajuk ‘Women Who Work: Rewriting the Rules for Success’ sebanyak AS$263,500 (RM1.10 bilion) diterbitkan pada 2017. Ivanka berikrar mendermakan royalti diterimanya kepada tabung kebajikan.

Pegangan Kushner dalam bangunan pangsapuri menerusi firma hartanah keluarganya, Kushner Cos, adalah sumber utama pendapatannya. -Agensi

601 dibaca
Berita Harian X