Isnin, 17 Jun 2019 | 8:34am
Gambar fail pada 18 Mei lalu menunjukkan bekas Naib Presiden AS, Joe Biden melancarkan kempen presidennya di Philadelphia, Pennsylvania. Tinjauan seluruh negara Fox News semalam menunjukkan Biden mendahului Trump. -Foto AFP

Biden dahului Trump dalam kempen presiden AS 2020 - Fox News

WASHINGTON: Satu tinjauan seluruh negara oleh Fox News dikeluarkan semalam menunjukkan Presiden Donald Trump dan sekurang-kurangnya empat pencabar Demokrat lain mengekori rapat bekas Naib Presiden Joe Biden ketika kempen awal Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2020 mula menunjukkan bahangnya.

Satu tinjauan berasingan di negeri penting oleh CBS pula menunjukkan Demokrat memilih Biden sebagai calon pilihan mengalahkan Trump dalam pilihan raya presiden AS tahun depan.

Ketika berita tinjauan terbaharu terbukti menggembirakan Demokrat, kempen pemilihan semula Trump dilaporkan memutuskan hubungan dengan tiga peninjaunya sendiri selepas sesetengah keputusan mereka menunjukkan Presiden AS itu jauh ketinggalan di belakang Biden di negeri penting, bocor.

Tinjauan Fox menunjukkan Biden mendahului Trump dengan 49 peratus berbanding 39 peratus sementara Senator Bernie Sanders hampir memiliki peluang sama iaitu 49 peratus dan 40 peratus.

Mendahului satu atau dua mata berbanding Trump, walaupun dalam margin kesilapan tiga mata tinjauan adalah Senator Elizabeth Warren dan Kamala Harris serta Datuk Bandar Pete Buttigieg dari South Bend, Indiana.


Calon presiden Demokrat 2020 yang bakal mengambil bahagian dalam debat pertama di Miami akhir bulan ini. -Foto Reuters

Tinjauan itu dilakukan lebih 500 hari sebelum pilihan raya presiden pada 3 November 2020. Trump belum secara rasmi mengumumkan kempen pemilihan semulanya sehingga Selasa (esok) apabila merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran di sebuah stadium di Orlando, Florida.

Namun tinjauan Fox, dijalankan dari 9 hingga 12 Jun lalu, dialu-alukan kalangan Demokrat yang tidak sabar mengambil alih populariti Trump, terutama di negeri penting seperti Pennsylvania dan Wisconsin.

Baru-baru ini, kempen Trump membocorkan data daripada peninjaunya sendiri menunjukkan Biden mengetuai dengan dua digit di beberapa negeri amat penting termasuk Florida, Pennsylvania dan Wisconsin – dimenangi Trump pada 2016.

Trump sendiri menolak data itu, membuat dakwaan kepada saluran ABC bahawa tinjauan terbabit tidak wujud, namun kempennya kemudian mengakui berita buruk itu sambil menganggapnya sudah ‘lapuk’ kerana dijalankan seawal Mac lalu.

Semalam, akhbar The New York Times melaporkan, kempen presiden yang berang dengan kebocoran data, memutuskan hubungan dengan tiga daripada lima peninjaunya termasuk Polling Company, bekas firma penasihat rapat Trump, Kellyanne Conway. -AFP

537 dibaca
Berita Harian X