Selasa, 25 Jun 2019 | 11:09am
Pendatang dimuatkan ke dalam bas oleh agen peronda Sempadan Amerika Syarikat setelah ditahan untuk dihantar pulang ke negara asal ketika mereka menyeberang ke Amerika Syarikat dari Mexico. - Foto Getty Image

AS pindahkan 249 tahanan kanak-kanak ke pusat perlindungan

WASHINGTON: Amerika Syarikat memindahkan hampir 250 pendatang kanak-kanak ke pusat perlindungan dari stesen peronda sempadan Texas yang penuh sesak.

Peguam berkata, mereka ditahan beberapa minggu dalam keadaan kotor tanpa makanan dan air mencukupi.

Jurucakap Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan (HHS), Evelyn Stauffer, berkata 249 kanak-kanak dari kemudahan di Clint, Texas, dipindahkan ke pusat perlindungan dikendalikan agensi itu hari ini.

Minggu lalu, peguam membangkitkan kebimbangan selepas mereka diberi kebenaran memasuki kemudahan Clint berhampiran El Paso.

Mereka mendapati lebih 300 kanak-kanak ditahan dalam keadaan amat kotor.

Kumpulan peguam berkenaan berkata, mereka melihat bayi tanpa lampin pakai buang dijaga oleh kanak-kanak yang tiada hubungan persaudaraan.

Kanak-kanak itu kekurangan makanan, pakaian bersih, berus gigi dan mandi, dan sebahagiannya tidur di atas lantai konkrit.

Cuma 30 kanak-kanak masih berada di kemudahan itu semalam.

Mereka yang tidak dihantar ke pusat perlindungan HHS dipindahkan ke khemah disediakan untuk keluarga yang ditahan, jurucakap bagi Wakil Veronica Escobar, Elizabeth Lopez-Sandoval.

Undang-undang AS memerlukan kanak-kanak yang menyeberangi sempadan tanpa ibu dan bapa atau penjaga sah ditempatkan di kemudahan tahanan jangka pendek peronda sempadan tidak lebih 72 jam dan dipindahkan ke pusat perlindungan HHS secepat mungkin. — Reuters

Berita Harian X