Jumaat, 28 Jun 2019 | 9:43pm
Sotheby’s bakal melelong pita rakaman pendaratan pertama misi Apollo 11 di bulan pada Julai 1969, bulan depan. Foto hiasan

Sotheby's lelong pita rakaman pendaratan pertama di bulan

NEW YORK: Seorang pelatih Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) mungkin bergelar jutawan apabila broker lelongan, Sotheby’s bersetuju melelong rakaman asal pendaratan pertama manusia di bulan, 50 tahun lalu.

Ia adalah antara ratusan video yang dibeli pelatih itu, bertujuan untuk dijual semula dan rakaman berkenaan dipercayai satu-satunya rakaman asal yang masih wujud.

Dalam tempoh beberapa tahun selepas peristiwa bersejarah manusia mendarat di bulan pada 20 Julai 1969, menerusi misi Apollo 11, NASA merakam semula menggunakan pita rakaman lama atau menjualnya bagi mengurangkan kos.

Menurut Gary George yang ketika masih seorang pelajar universiti, beliau membeli lebih 1,100 gulungan pita rakaman milik NASA, pada harga AS$218 (RM903) dalam satu sesi lelongan pada 1976.

“Saya tidak menyangka, ia mengandungi sesuatu yang berharga.

“Saya menjualnya kepada stesen televisyen untuk rakaman semula,” kata George, 65, iaitu pesara jurutera mekanikal dari Las Vegas kepada Reuters menerusi telefon.

Bagaimanapun, tiga daripada pita rakaman itu akhirnya didapati amat berharga.

Salah satu daripadanya mempunyai rakaman imej pendaratan pertama di bulan oleh angkasawan, Neil Armstrong, bersama dengan kata-katanya yang masyhur, iaitu ‘Itu adalah satu langkah kecil bagi seorang manusia, tetapi ia adalah satu lompatan besar bagi kemanusiaan’.

“Rakaman itu turut menunjukkan angkasawan, Buzz Aldrin sedang mengelilingi kawasan itu dalam keadaan graviti yang minimum di bulan, selain rakaman panggilan yang dibuat kepada Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon.

“Ia turut memaparkan rakaman angkasawan memacak bendera Amerika Syarikat di permukaan bulan, mengutip sampel tanah dan batu serta bahan lain,” kata jurucakap Sotheby’s, Hallie Freer.

Freer berkata, pita rakaman itu dijangka mampu dilelong pada harga setinggi AS$2 juta (RM8.28 juta) pada sesi lelongan di New York pada 20 Julai ini.

Namun, beliau enggan mendedahkan butiran perjanjian kewangan yang sudah dipersetujui antara Sotheby’s dan penjual.

Pengumpul selalunya sedia membelanjakan sejumlah wang bagi mendapatkan artifak pengembaraan di bulan.

Pada 2017, Sotheby’s berjaya menjual satu beg berzip yang tertera perkataan ‘Sampel Bulan Kembali’ yang berisi debu dari bulan, dipercayai digunakan oleh Armstrong ketika misi pada 1969 pada harga AS$1.8 juta (RM7.45 juta)

Sementara itu, selepas membeli kesemua pita rakaman itu, George menjual lapan gulung pita rakaman kepada stesen televisyen pada AS$50 (RM207) setiap satu.

Bagaimanapun, ketika membersihkan kenderaannya yang penuh dengan pita rakaman untuk didermakan kepada sebuah gereja bagi pengecualian cukai, bapanya menemui tiga pita rakaman yang ditulis dengan label ‘Apollo 11 EVA’.

Ia adalah kata singkatan bagi aktiviti tambahan menggunakan kenderaan khas, iaitu ungkapan yang sering digunakan NASA bagi pendaratan di bulan. - Reuters

330 dibaca
Berita Harian X