Rabu, 3 Julai 2019 | 10:30pm
Gaun berwarna biru milik aktres lagenda, Elizabeth Taylor yang pernah digayakan di Anugerah Akademi pada 1974.

Gaun Elizabeth Taylor yang dipakai ke Oscar bakal dilelong

LOS ANGELES: Gaun milik aktres lagenda, Elizabeth Taylor yang pernah digayakan di Anugerah Akademi pada 1974 menjadi antara 1,200 barangan milik mendiang yang bakal dilelong awal Disember depan, kata Julien’s Auctions hari ini.

Busana dengan material chifon berwana biru pucat yang dipakai Taylor ke Oscar itu direka oleh Edith Head dan dijangka memperoleh antara AS$4,000 (RM16,560) hingga AS$6,000 (RM24,840), kata rumah lelongan terbabit dalam satu kenyataan.

Turut dilelong adalah tali pinggang perak bersadur emas Cartier yang terukir nama ibunya. Barang kemas, rambut palsu, koleksi seni halus dan barangan perhiasan rumah milik Taylor ketika hayatnya turut dijual.

Presiden dan Ketua Eksekutif Julien’s Auctions, Darren Julien berkata, beliau menjangkakan tali pinggang itu akan terjual lebih daripada AS$40,000 (RM165,600).

Lelongan itu dijadual berlangsung dari 6 hingga 8 Disember di Beverly Hills California. Bidaan juga boleh dibuat di laman web rumah lelongan terbabit.

Taylor yang meninggal dunia pada 2011 ketika berusia 79 tahun, adalah lambang unggul kehidupan ‘glamour’ Hollywood.

Namanya mula masyhur pada 1944 ketika berusia 12 tahun dan pernah lima kali dicalonkan sebagai aktres terbaik Oscar.

Beliau dinobat sebagai aktres terbaik Oscar pada 1960an untuk filem ‘Butterfield 8’ dan ‘Who’s Afraid of Virginia Woolf?” pada 1966. - Reuters

Berita Harian X