Jumaat, 5 Julai 2019 | 11:20am
Bekas gabenor Rio de Janeiro, Sergio Cabral. - Foto fail Reuters

Bekas gabenor Rio de Janeiro akui beri rasuah untuk anjur Olimpik 2016

RIO DE JANEIRO: Bekas gabenor Rio de Janeiro mengaku membayar AS$2 juta (RM10.41 juta) bagi membeli undi untuk memastikan bandar tepi laut Brazil itu terpilih sebagai penganjur Sukan Olimpik 2016.

Sergio Cabral memberitahu demikian kepada hakim dalam sesi keterangan di mahkamah semalam dan menambah, wang berkenaan diberikan kepada bekas presiden Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Lamine Diack untuk membeli sembilan undi.

Cubaan menghubungi Diack atau pasukan perundangannya semalam bagaimanapun tidak berhasil.

Ketua Jawatankuasa Olimpik Brazil dan perancang utama bidaan, Arthur Nuzman memperkenalkan wakil Rio 2016 itu kepada Diack dan mengarahkan beliau membuat bayaran sebelum undi 2009 yang menyaksikan Rio memenangi cubaan itu, menewaskan Madrid, Chicago dan Tokyo.

“Nuzman bertemu saya dan berkata, Sergio, saya mahu memberitahu bahawa Presiden IAAF, Lamine Diack adalah seseorang yang sanggup menerima rasuah,” kata Cabral.

Pendakwa di Brazil menuduh Nuzman membayar rasuah berjumlah AS$2 juta (RM10.41 juta) pada Oktober 2017 untuk menjamin kedudukan Rio sebagai penganjur Sukan Olimpik 2016.

Perbicaraan kes berkenaan masih berterusan dan Cabral mendakwa dirinya tidak bersalah.

Bulan lalu, Cabral didakwa di mahkamah Perancis bersama anak lelakinya, Papa Massala atas beberapa tuduhan salah laku selama beberapa tahun, termasuk menerima rasuah serta pengubahan wang, membabitkan atlet antarabangsa dan persekutuan mereka. - Reuters

378 dibaca
Berita Harian X