Rabu, 10 Julai 2019 | 7:48am
Jay-Z. - Foto AFP

Jay-Z ceburi perniagaan berasaskan ganja

LOS ANGELES: Rapper bertaraf jutawan, Jay-Z kini menceburi industri berasaskan kanabis selepas dilantik sebagai perancang strategi dengan syarikat Caliva di California.

Caliva, sebuah syarikat milik persendirian yang ditubuhkan di San Jose pada 2015 berkata semalam, Jay-Z bersedia menjalin perkongsian jangka panjang itu dan memfokus ke arah program bantuan dan kreatif syarikat.

Sebagai ketua strategi jenama Caliva, beliau juga akan memperkembangkan usaha keadilan sosial dengan meningkatkan latihan kerja untuk bekas banduan selain memperkenalkan kualiti dan keadilan dalam pembangunan industri ganja yang sah, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

“Kami mahu mewujudkan sesuatu yang mengagumkan dan dalam masa sama menyeronokkan, beramal sambil menarik ramai orang,” kata rapper itu dalam satu kenyataan.

Awal tahun ini, Jay-Z membantu melancarkan kumpulan keadilan jenayah dikenali sebagai Reform Alliance bertujuan membantu 1 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) bebas dari penjara dan mendapatkan tempoh percubaan atau parol dalam tempoh lima tahun akan datang.

Jun lalu, Jay-Z, 49 yang juga suami kepada artis R&B Beyonce, dinamakan majalah Forbes sebagai artis hip-hop pertama bertaraf ‘billionaire’ hasil pelaburan dalam industri pakaian, champagne, Uber dan syarikat muziknya, Roc Nation.

Beliau adalah selebriti terbaru menceburi perniagaan ganja selepas penggunaannya secara rekreasi dibenarkan di 11 negeri di AS, termasuk California.

Selain Jay-Z, Rapper Snoop Dogg turut memiliki jenama sendiri dikenali sebagai Leafs by Snoop.

Pada 2016, pelakon Whoopi Goldberg melancarkan produk perubatan berasaskan ganja bertujuan untuk memberikan kelegaan akibat masalah senggugut. - Reuters

371 dibaca
Berita Harian X