Rabu, 10 Julai 2019 | 7:59am
Sebuah kereta melalui rekahan di sebatang lebuh raya akibat gempa bumi kuat magnitud 6.4 dan 7.1 di California Selatan berhampiran bandar Ridgecrest pada Khamis dan Jumaat lalu. -Foto Reuters

California lanjut sistem amaran, pengesanan awal gempa bumi

LOS ANGELES: Pihak berkuasa California membelanjakan lebih AS$40 juta (RM165.67 juta) untuk sistem amaran awal gempa bumi yang mana selain memberi amaran kepada orang awam ia secara automatik menahan pintu tren dan membuka pintu rintangan api sejurus sebelum gempa bumi besar berlaku.

Gabenor California, Gavin Newsom membuat pengumuman itu susulan gempa magnitud 7.1 yang menggegarkan California Selatan Jumaat lalu di mana negeri itu sudah memasang 70 peratus daripada 1,115 pengesan awal diperlukan untuk melengkapkan sistem di seluruh negeri.

“Saya fikir seluruh negeri sedar ketika ini mengenai peluang di hadapan kita,” kata Ketua Bahaya Seismik di bawah Pejabat Perkhidmatan Kecemasan (OES) kerajaan, Ryan Arba.

Pegawai pengurusan kecemasan berkata, mereka berhasrat melaksanakan sistem amaran itu secara meluas menjelang pertengahan 2021 bagi memberi khidmat kepada kira-kira 40 juta penduduk California.

Gempa magnitud 7.1 yang menggegarkan California menyebabkan jaringan gas pecah dan mencetuskan pelbagai kebakaran di Ridgecrest, bandar terpencil dihuni kurang 30,000 orang di Mojave Desert, sejauh 200 kilometer di timur laut bandar ini. Gempa berlaku sehari selepas gegaran magnitud 6.4 di kawasan sama.

Gempa berturut-turut itu menamatkan ketenangan di California Selatan dan memberi kesedaran baharu terhadap perkembangan sistem amaran awal gempa bumi di negeri itu.

Jepun membangunkan sistem amaran awal gempa bumi paling maju di dunia selepas gempa Kobe pada 1995. Ia bergantung kepada lebih 4,000 pengesan dan menggunakan prinsip asas fizik sama digunakan California untuk membangunkan sistemnya.

Seperti mana di Jepun, sistem amaran awal California direka untuk mengesan gelombang-P yang pantas bergerak akibat gempa serta boleh dikesan sebelum bumi mula bergegar di kawasan tertentu.

Menurut Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), kebanyakan haiwan boleh merasai gegaran gelombang-P.

Secara umum, komuniti yang jauh dari pusat gempa akan menerima amaran lebih awal.

Dalam senario terbaik, rekahan di Garis Gelincir San Andres berhampiran sempadan California dengan Mexico cukup jauh dari Los Angeles untuk memberi bandar itu amaran 60 saat sebelum bumi bergegar. Komuniti yang hampir dengan pusat gempa akan menerima sedikit atau tanpa amaran.

Januari lalu, pihak berkuasa di sini memperkenalkan aplikasi telefon bimbit ‘ShakeAlertLA’ yang boleh menghantar amaran awal kepada penduduk yang menggunakannya, memberi mereka lebih masa untuk berlindung sebelum gempa berlaku.

USGS berkata, aplikasi ‘ShakeAlertLA’ tidak diaktifkan untuk gempa Ridgecrest kerana ramalan gegaran di sini berada di bawah paras ditetapkan. -Reuters

188 dibaca
Berita Harian X