Rabu, 10 Julai 2019 | 9:17am
Trump menjadikan akaun Twitter miliknya, @RealDonaldTrump yang dibuka pada 2009, sebagai pusat kontroversi pentadbirannya, menggunakannya untuk mempromosi agenda beliau serta menyerang pengkritik. -Foto AFP

Trump sekat pengkritik di Twitter tidak ikut perlembagaan - Mahkamah

NEW YORK/WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump melanggar perlembagaan apabila menyekat individu yang mana pandangannya tidak disukai daripada akaun Twitternya, kata satu keputusan mahkamah rayuan semalam.

Dalam keputusan 3-0, Mahkamah Rayuan di Manhattan berkata, Pindaan Pertama melarang Trump menggunakan fungsi ‘sekatan’ Twitter untuk mengehadkan akses pada akaunnya, yang memiliki 61.8 juta pengikut.

“Pindaan Pertama tidak membenarkan seorang pegawai awam yang menggunakan akaun media sosial untuk semua tujuan rasmi, mengecualikan individu daripada dialog terbuka dalam talian kerana mereka menyuarakan pandangan yang tidak disukai pegawai berkenaan,” tulis Hakim Barrington Parker, memetik beberapa keputusan Mahkamah Agung.

Seorang jurucakap Jabatan Kehakiman AS, Kelly Laco yang berhujah menentang rayuan berkata:

“Kami kecewa dengan keputusan mahkamah dan akan mencari jalan berikutnya.”

Rumah Putih enggan mengulas. Pengarah media sosial Rumah Putih, Dan Scavino juga seorang defendan. Twitter juga enggan mengulas.

Trump menjadikan akaun Twitter miliknya, @RealDonaldTrump yang dibuka pada 2009, sebagai pusat kontroversi pentadbirannya, menggunakannya untuk mempromosi agenda beliau serta menyerang pengkritik.

Sekatannya terhadap pengkritik dicabar Institut Pindaan Pertama Knight di Universiti Columbia, serta tujuh pengguna Twitter.

“Keputusan itu akan membantu memastikan integriti dan kesinambungan ruang digital yang semakin penting kepada demokrasi,” kata pengarah eksekutif institut berkenaan, Jameel Jaffer.

Keputusan semalam mengekalkan keputusan pada Mei 2018 oleh Hakim Daerah AS Naomi Reice Buchwald di Manhattan yang menjurus Trump terpaksa menarik balik sekatan beberapa akaun pengikutnya.

Jabatan Kehakiman menggelar keputusan hakim berkenaan sebagai ‘asas salah faham’ mengatakan Trump menggunakan Twitter untuk menyuarakan pandangan, bukan menawarkan forum perbincangan awam.

Bagaimanapun Parker berkata, akaun Trump memaparkan ‘semua perangkap rasmi, akaun dikendalikan kerajaan,’ dan ‘satu daripada alat utama Rumah Putih untuk menjalankan urusan rasmi.’ -Reuters

170 dibaca
Berita Harian X