Rabu, 10 Julai 2019 | 11:12am
Majoriti pendapatan pasangan Biden datangnya daripada ceramah dan bayaran dua buku ditulis bekas Naib Presiden AS itu, pencabar utama pencalonan presiden Demokrat 2020. -Foto Agensi

Biden, isteri peroleh pendapatan lebih AS$15 juta

WASHINGTON: Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan isterinya, Jill, memperoleh lebih AS$15 juta (RM62.12 juta) dalam tempoh dua tahun selepas meninggalkan jawatan kerajaan awal 2017, menurut rekod cukai dikeluarkan kempennya semalam.

Majoriti pendapatan mereka datangnya daripada ceramah dan bayaran dua buku ditulis Biden, pencabar utama dalam pencalonan presiden Demokrat 2020.

Bekas Senator dari Delaware itu berkhidmat sebagai Naib Presiden di bawah pentadbiran Barack Obama selama lapan tahun, melepaskan jawatan pada Januari 2017 susulan pemilihan Presiden Republikan, Donald Trump.

Menurut penyata cukai negeri dan persekutuan, pasangan Biden memperoleh kira-kira AS$11 juta (RM45.56 juta) pada 2017 dan AS$4.58 juta (RM18.97 juta) pada 2018. Kira-kira AS$13.2 juta (RM54.66 juta) dikaitkan dengan bayaran buku.

Biden memperoleh gaji lebih AS$775,000 (RM3.21 juta) sebagai profesor di Universiti Pennsylvania pada 2017 dan 2018.

Kempen Biden mendedahkan borang kewangan diwajibkan untuk calon presiden yang memperincikan butiran bayaran ceramah serta buku dari 1 Januari 2018 hingga 31 Mei 2019.

Borang menunjukkan, Biden, yang gemar merujuk dirinya sebagai ‘Joe kelas pertengahan’ dalam jejak kempen, kerap menerima bayaran enam angka untuk berceramah, kebanyakannya di universiti persendirian seperti Universiti Drew di mana beliau dibayar AS$190,000 (RM786,798.35) dan Universiti Vanderbilt dengan bayaran AS$180,000 (RM745,387.91).

Oktober lalu, Biden menerima bayaran AS$182,679 (RM756,481.77) untuk berceramah di Kelab Ekonomi Barat Daya Michigan.

Menurut penyata cukai pasangan itu, mereka membayar cukai persekutuan sebanyak AS$3.7 juta (RM15.32 juta) pada 2017 dan mendermakan kira-kira AS$1 juta (RM4.14 juta) kepada badan kebajikan manakala pada 2018 mereka membayar AS$1.5 juta (RM6.21 juta) dalam bentuk cukai dan mendermakan AS$275,000 (RM1.14 juta). -Reuters

309 dibaca
Berita Harian X