Rabu, 10 Julai 2019 | 12:33pm
Bangku taman di East Potomac Park, Washington, DC turut ditenggelami air kelmarin akibat hujan lebat. -Foto AFP

Washington DC dilanda hujan lebat, banjir

WASHINGTON: Hujan lebat melanda Washington DC dan kawasan sekitarnya kelmarin, menyebabkan banyak kejiranan dinaiki air serta menyebabkan jaringan pengangkutan terkandas dan bekalan elektrik terputus.

Perkhidmatan Cuaca Nasional (NWS) mengeluarkan amaran banjir kilat ketika ribut melanda, menyebabkan jalan raya dinaiki air, memaksa penutupan banyak jalan utama.

Lapangan terbang dan rangkaian kereta api juga terjejas, menyebabkan kelewatan.

Lapangan Terbang Ronald Reagan di ibu kota ini menerima sekitar 83 milimeter hujan dalam tempoh sejam, lapor NWS menerusi tweet.

Rakaman disiarkan stesen televisyen tempatan dan dihantar di media sosial menunjukkan kenderaan tenggelam di jalan raya berhampiran mercu tanda seperti Tugu Washington dan sesetengah pemandu kenderaan berdiri di atas bumbung kereta ketika air naik.


Hujan lebat menyebabkan persimpangan di 15th Street dan Constitution Ave, Washington DC dinaiki air kelmarin. -Foto Agensi

Satu daripada video menunjukkan air deras melalui lubang sebuah bumbung di stesen metro di sini.

Bilik kebal utama bangunan Arkib Negara yang menempatkan banyak dokumen penting dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) dibanjiri, memutuskan bekalan elektrik ketika jalan raya sekitarnya ditenggelami air.

“Penghadang banjir bangunan berfungsi dengan baik. Pengisytiharan Kemerdekaan, Perlembagaan dan Rang Undang-undang Hak bersama semua rekod bernilai disimpan dalam bangunan, selamat dan tidak dalam bahaya,” kata institusi itu dalam satu kenyataan.

Rumah Putih tidak terlepas, rakaman dihantar beberapa koresponden dan cawangan media menunjukkan banjir terbentuk di ruang bawah tanah.

Perkhidmatan kecemasan berkata, mereka menerima puluhan panggilan daripada orang ramai meminta bantuan. Walaupun banjir meluas, tiada kematian dilaporkan.

Hujan lebat dan banjir bagaimanapun surut lewat hari sama, ketika penilaian kerosakan bermula di District of Columbia, di mana letaknya Washington serta kawasan berjiran di Virginia dan Maryland. -AFP

Berita Harian X