Khamis, 11 Julai 2019 | 11:07am
Perbezaan ketara penurunan jumlah tahanan kanak-kanak di sempadan AS-Mexico menunjukkan tekanan pentadbiran Trump untuk mengekang ketibaan pendatang akhirnya membuahkan hasil. -Foto AFP

Jumlah tahanan kanak-kanak sempadan Mexico berkurangan - AS

CARRIZO SPRINGS: Pegawai sempadan Amerika Syarikat (AS) menahan kira-kira 200 kanak-kanak tidak ditemani yang menyeberangi sempadan selatan semalam, menurun daripada lebih 2,500 pada Mei lalu, berikutan peningkatan pembiayaan Kongres.

Pengurangan angka itu susulan dua pemeriksaan kerajaan yang mendedahkan keadaan sesak dan kotor di kemudahan tahanan sempadan, menghangatkan perdebatan mengenai dasar pendatang tegar Presiden Donald Trump.

Hampir semua kanak-kanak tidak ditemani ditahan pegawai sempadan diserahkan kepada pihak berkuasa Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan (HHS) dalam tempoh 72 jam ditahan, kata pegawai yang enggan dikenali kepada media.

Kritikan memuncak selepas pemeriksa kerajaan dan peguam pendatang menemui bukti, kanak-kanak ditahan melebih had dibenarkan undang-undang di kemudahan tidak sesuai untuk menempatkan mereka.

Jumlah meningkat majoriti keluarga dan kanak-kanak dari Amerika Tengah yang melakukan perjalanan bersendirian, kebanyakannya mencari suaka di AS, mengejutkan pihak berkuasa ketika pentadbiran Trump memberi tekanan untuk mengehadkan pendatang sah dan tidak sah.

Pegawai sempadan menyerahkan kanak-kanak ke kemudahan dikendali atau dibiayai HHS seperti kem khemah yang baharu dibuka di Texas di sini, sejauh hampir 130 kilometer di barat laut Laredo. Ia memiliki kapasiti untuk menempatkan maksimum 1,344 kanak-kanak.

Kem Carrizo Spring dibina sebulan lalu, mula menerima kanak-kanak pada 30 Jun dan ketika ini menempatkan 225 orang. Ia dikendalikan BCFS, syarikat berpusat di San Antonio yang mengendalikan enam lagi kemudahan dibiayai HHS.

Pihak berkuasa membenarkan media melawat kemudahan itu semalam, menunjukkan asrama bersih dan kakitangan mencuci pakaian. Kanak-kanak menerima pendidikan dwibahasa ketika ditahan, kata pegawai.

Katanya, seorang kakitangan kes ditugaskan untuk setiap enam kanak-kanak, yang dibenarkan membuat panggilan 10 minit dua kali seminggu.

“Saya suka bagaimana mereka melayan kami. Kelas bahasa Inggeris lebih baik berbanding yang biasa saya sertai,” kata seorang budak lelaki remaja dari El Salvador ketika disoal media.

Ia jauh berbeza dengan imej dalam laporan ketika kunjungan Reuters 7 Mei lalu. Mereka menunjukkan tahanan ditahan di kemudahan Pengawal Sempadan dan dinafikan hak tempat tidur selesa atau kebersihan.

Bermula akhir Mei sehingga awal Jun lalu, pihak berkuasa sempadan menahan kira-kira 2,500 hingga 2,700 kanak-kanak yang menyeberangi sempadan secara bersendirian atau dipisahkan daripada dewasa yang bukan ibu bapa mereka, kata pegawai semalam.

“Menyaksikan angka itu ketika ini berjumlah kira-kira 200 amat positif. Ia perbezaan besar sejak HHS menerima pembiayaan,” kata pegawai.

Jun lalu, Kongres AS meluluskan rang undang-undang pembiayaan tambahan kecemasan bernilai AS$4.5 bilion (RM18.63 bilion) menyasar memperbaiki situasi di sempadan termasuk AS$2.88 bilion (RM11.93 bilion) untuk memberi perlindungan dan penjagaan kepada kanak-kanak tidak ditemani. -Reuters

Berita Harian X