Khamis, 11 Julai 2019 | 4:10pm
DoJ memulakan siasatan sama ada Bank Deutsche melanggar undang-undang kewangan asing dalam tugasnya untuk 1MDB. - Foto EPA

DoJ siasat Bank Deutsche berhubung skandal 1MDB

WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memulakan siasatan sama ada Bank Deutsche, pemberi pinjaman terbesar Jerman, melanggar undang-undang kewangan asing dalam tugasnya untuk 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor media AS semalam.

Jabatan itu menyiasat sama ada Bank Deutsche melanggar undang-undang rasuah asing atau undang-undang anti-pengubahan wang haram menerusi tugasnya untuk 1MDB, yang termasuk membantu dana itu memperoleh AS$1.2 bilion (RM4.94 bilion) pada 2014 ketika kebimbangan mengenai pengurusan dan kewangannya mula tersebar, menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ).

Berbilion dolar dicuri daripada dana pelaburan itu antara 2009 dan 2014 dan dihabiskan membeli daripada kapal layar sehingga hasil seni mahal, dalam penipuan didakwa membabitkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dan kroninya.

Siasatan ke atas Bank Deutsche dibantu oleh bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Tim Leissner, yang mengaku bersalah kepada tuduhan pembabitan dalam skandal 1MDB.

Pendakwa raya meneliti peranan bekas rakan sekerja Leissner, Tan Boon-Kee, yang juga bertugas sebagai ketua perbankan Bank Deutsche di Asia Pasifik bagi pelanggan institusi kewangan itu, menurut WSJ.

Tan meninggalkan bank berkenaan tahun lalu selepas didapati beliau berhubungan dengan ahli perniagaan Malaysia dalam buruan, Jho Low, yang didakwa memainkan peranan utama dalam penipuan itu.

Bank Deutsche bekerjasama penuh dengan siasatan, katanya dalam kenyataan, dan mendakwa ia ditipu oleh 1MDB. — AFP

Berita Harian X