Sabtu, 13 Julai 2019 | 4:53pm
Penduduk Lousiana sudah mula bersiap sedia menghadapi ketibaan Ribut Tropika Barry. - Foto AFP
Penduduk Lousiana sudah mula bersiap sedia menghadapi ketibaan Ribut Tropika Barry. - Foto AFP

Penduduk Lousiana siap sedia terima Ribut Tropika Barry

LOUSIANA (AMERIKA SYARIKAT): Jutaan penduduk Lousiana sudah mula bersiap sedia menghadapi ketibaan Ribut Tropika Barry yang mengancam bahagian Selatan AS itu dan bandar terbesar, New Orleans bersama kemungkinan hujan lebat serta banjir.

Pihak berkuasa kini giat menjalankan kerja pemindahan dan menutup pintu tebatan banjir manakala penerbangan terpaksa dibatalkan susulan ramalan Pusat Taufan Nasional (NHC) bahawa ribut itu akan melanda hari ini.

Ia kini berada di Teluk Mexico dan membawa bersama hujan lebat serta berpotensi untuk mencetuskan banjir yang mengingatkan orang ramai kepada kemusnahan dibawa Taufan Katrina pada 2005.

Ribuan penduduk juga sudah mula dilihat mengemas barangan dan meninggalkan rumah masing-masing susulan banjir di kawasan bertanah rendah seperti Plaquemines Parish, menyebabkan ada di kalangan komuniti terpencil terputus hubungan kerana jalan utama dinaiki air.

Menurut NHC, setakat pagi tadi, ribut itu bergerak pada kelajuan angin 100 kilometer sejam, dengan kekuatan yang sedikit berkurangan berbanding taufan.

Puluhan penduduk turut terpaksa berlindung di auditorium Plaquemines Belle Chasse manakala segelintir lagi meninggalkan kawasan kepulauan itu untuk menetap bersama rakan atau saudara mara masing-masing di tanah besar bagi mengelakkan daripada berhadapan banjir yang diramalkan berlaku oleh NHC.

Gabenor John Bel Edwards berkata New Orleans sudah bersedia menghadapi ketibaan ribut terbabit namun meminta semua penduduk tetap mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Semua orang perlu mengambil serius ribut ini dan saya menggesa pihak berkenaan sentiasa menyalurkan maklumat terkini,” katanya menerusi Twitter. - AFP

Berita Harian X