Ahad, 14 Julai 2019 | 11:30am
42,000 penduduk Manhattan di sini bergelap semalam selepas terputus bekalan elektrik. - Foto REUTERS

42,000 penduduk New York bergelap, terputus bekalan elektrik

NEW YORK: Sekurang-kurangnya 42,000 penduduk Manhattan di sini bergelap semalam selepas terputus bekalan elektrik, menjejaskan persembahan di teater Broadway, operasi kereta api bawah tanah termasuk di sekitar Times Square, kata syarikat utiliti, Con Edison.

Datuk Bandar, Bill de Blasio berkata di Twitter gangguan bekalan itu disebabkan oleh kebakaran di lubang kabel bawah tanah tetapi kemudian memberitahu CNN puncanya masih disiasat.

“Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan cara mereka membekalkan kuasa dari satu bandar ke bandar lain untuk memenuhi permintaan,” kata de Blasio.

“Sementara Con Edison berusaha untuk mengembalikan bekalan elektrik di Manhattan, kami menggalakkan orang ramai untuk mengelakkan stesen kereta api bawah tanah,” kata pihak berkuasa Metropolitan Transportation New York di Twitter.

Gangguan bekalan elektrik itu menjejaskan sebahagian besar barat Manhattan, terutama kejiranan sekitar Hell's Kitchen dan daerah teater Broadway. - AFP

Berita Harian X