Isnin, 15 Julai 2019 | 11:39am
Pusat Taufan Nasional berkata, hujan antara 7.6 hingga 12.7 sentimeter dijangka turun di seluruh selatan-tengah Louisiana dengan sesetengah kawasan terpencil menerima antara 25 hingga 38 sentimeter hujan akibat serangan Taufan Barry. -Foto AFP
Pusat Taufan Nasional berkata, hujan antara 7.6 hingga 12.7 sentimeter dijangka turun di seluruh selatan-tengah Louisiana dengan sesetengah kawasan terpencil menerima antara 25 hingga 38 sentimeter hujan akibat serangan Taufan Barry. -Foto AFP

Barry melemah, ancaman hujan lebat, banjir, puting beliung masih ada

MANDERVILLE: Taufan Barry semakin melemah semalam ketika ribut itu membadai Louisiana, Amerika Syarikat (AS) dengan membawa hujan lebat serta kemungkinan mengakibatkan banjir dan puting beliung.

Tiada laporan kematian setakat ini di Louisiana atau negeri bersebelahan akibat serangan Barry, yang menjadi taufan pertama Altantik sebelum Pusat Taufan Nasional menurunkannya kepada ribut tropika dan kemudian lekukan tropika.

Namun, ketika ribut itu bergerak ke kawasan daratan di laluan utara, ia membawa angin kencang.

Penduduk Louisiana terus memantau sungai dan terusan yang melimpah akibat hujan lebat, susulan musim hujan luar biasa di sepanjang Sungai Mississippi.

“Ini adalah tahun paling basah pernah kami alami sejak 1895,” kata Mejar Jeneral Richard Kaiser yang mengetuai Suruhanjaya Sungai Mississippi di Fox News.

Katanya, sungai lebar itu ‘mencatat paras tertinggi dalam tempoh lama’ menghampiri peringkat banjir.

Hujan lebat terus melanda New Orleans, bandar terbesar negeri itu, namun lapangan terbangnya berupaya meneruskan khidmat seperti biasa selepas membatalkan kesemua penerbangan kelmarin.

Kebimbangan sistem tetambak yang melindungi New Orleans gagal menghalang banjir semakin berkurangan.

Datuk Bandar LaToya Cantrell, yang mana sehari sebelumnya menggesa penduduk supaya tidak leka berkata dalam sidang media semalam, pihaknya berjaya mengharungi taufan.

“Kita amat bertuah kerana terselamat,” katanya.

Sehingga jam 4 petang waktu tempatan Ahad, kelajuan maksimum angin dibawa taufan itu menurun kepada 55 kilometer sejam.

Pusat Taufan Nasional berkata, ribut itu menyerang kawasan utara-timur laut di Shreveport di barat Louisiana, menuju ke arah Arkansas.

Arahan berpindah sudah ditarik balik di beberapa kawasan termasuk Plaquemines Parish, selatan New Orleans, di mana sehingga 10,000 penduduk diarah berpindah.

Namun semalam, anggota Pengawal Nasional masih mendirikan benteng diisi pasir dalam cubaan menghalang banjir selepas ‘paras air tinggi’ melepasi tetambak di bandar Plaquemines di Myrtle Grove, menurut pegawai maklumat, Jade Duplessis. -AFP

Seorang penduduk menunggang basikal di sebatang jalan dinaiki air selepas serangan Taufan Barry di Mandeville, Louisiana, kelmarin. -Foto Reuters
Seorang penduduk menunggang basikal di sebatang jalan dinaiki air selepas serangan Taufan Barry di Mandeville, Louisiana, kelmarin. -Foto Reuters

Berita Harian X