Selasa, 16 Julai 2019 | 3:51pm

Netflix buang adegan bunuh diri dalam drama popular

CALIFORNIA: Perkhidmatan hiburan internet terkemuka dunia, Netflix Inc membuang adegan kontroversi drama remaja popularnya, ‘13 Reasons Why’, yang menggambarkan pembunuhan diri seorang belia, kata syarikat itu menerusi Twitter.

Ia susulan nasihat daripada pakar perubatan.

Drama itu, berdasarkan buku dengan tajuk sama, menonjolkan pembunuhan diri watak protagonis dalam episod akhir musim satu, termasuk adegan seorang remaja, Hannah, mengelar pergelangan tangannya dalam tab mandi.

Syarikat berkenaan berkata, berdasarkan nasihat pakar perubatan itu, mereka memutuskan dengan pengarah Brian Yorkey dan penerbit 13 Reasons Why untuk menyunting adegan itu yang menunjukkan Hannah membunuh diri.

Walaupun mendapat pujian pengkritik, drama itu dikecam beberapa kumpulan termasuk Majlis Televisyen Ibu Bapa (PTC), yang mendakwa ia menggalakkan pembunuhan diri dalam kalangan remaja.

Langkah menyunting adegan itu mendapat pujian PTC yang juga melobi Netflix menggugurkan rancangan itu.

“Akhirnya Netflix mengakui kesan tidak baik yang ditunjukkan kandungan berbahaya seperti adegan bunuh diri dalam 13 Reasons Why, boleh menimpa kanak-kanak,” kata pertubuhan itu.

Kes bunuh diri dalam kalangan remaja Amerika Syarikat meningkat hampir satu pertiga dalam sebulan berikutan penyiaran siri popular Netflix itu pada 2017, menurut kajian. — Reuters

Berita Harian X