Ahad, 4 Ogos 2019 | 10:37am
Seorang pegawai polis berdiri bersebelahan pita kuning selepas tembakan besar-besaran di Walmart, El Paso, Texas, semalam. -Foto Reuters

Insiden tembakan di Texas dikaitkan jenayah benci - Polis

EL PASO: Polis yang menyiasat insiden tembakan di sebuah gedung Walmart di Texas di sini, mengorbankan 20 orang dan mencederakan lebih 24 lain mengaitkannya dengan jenayah kebencian.

Ketua polis El Paso, Greg Allen berkata, pihak berkuasa memiliki manifesto daripada suspek yang menunjukkan ‘ada potensi jenayah itu berkaitan dengan kebencian.’

Pihak berkuasa bagaimanapun enggan menjelaskan lanjut dan berkata, siasatan kini sedang diteruskan.

Dalam kejadian semalam, seorang lelaki bersenjatakan raifal membunuh 20 orang di gedung Walmart di sini, dan mencederakan lebih 24 lain sebelum ditahan pihak berkuasa, dalam insiden tembakan besar-besaran terbaharu di Amerika Syarikat (AS).

Ramai pengunjung yang berada di gedung terbabit sibuk membeli peralatan persekolahan apabila terperangkap dalam insiden tembakan itu, berlaku enam hari selepas seorang remaja bersenjata membunuh tiga orang dalam satu festival makanan di California Utara.

“Pada hari yang dianggap normal untuk seseorang membeli-belah, ia sebaliknya bertukar kepada hari paling menakutkan dalam sejarah di Texas,” kata Gabenor Texas, Greg Abbott dalam sidang media ketika mengumumkan angka kematian.

Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador berkata, tiga rakyatnya antara yang maut manakala enam lagi cedera.

Kejadian terbaharu itu adalah insiden tembakan besar-besaran kelapan terburuk dalam sejarah moden AS selepas kejadian sama pada 1984 di San Ysidro, mengorbankan 21 orang.

Suspek dikenali sebagai lelaki kulit putih dari Allen, Texas, bandar sejauh 1,046 kilometer di timur bandar ini dan berusia 21 tahun.

Ditanya dalam wawancara CNN terhadap laporan tulisan mengganggu dalam talian dibuat suspek, Peguam Negeri Texas, Ken Paxton berkata, beliau tidak terkejut.

“Saya fikir ia membantu menjelaskan mengapa dia melakukannya. Mereka masih menyoalnya,” kata Paxton.

Menurut pihak berkuasa, suspek ditahan tanpa insiden. Video dihantar di media sosial menunjukkan penembak digari sebelum dibawa menaiki kenderaan polis.

Memetik sumber penguat kuasa undang-undang, saluran televisyen tempatan, KTSM menerbitkan gambar suspek diambil kamera keselamatan ketika memasuki Walmart.

Presiden Donald Trump menyifatkan insiden tembakan itu sebagai ‘tindakan pengecut.’ -Reuters


Polis di tempat kejadian tembakan besar-besaran di Walmart, El Paso, Texas. -Foto Reuters

Berita Harian X