Ahad, 4 Ogos 2019 | 12:10pm
Beta O’Rourke (kiri) dan Donald Trump.

Trump dituduh punca jenayah kebencian meningkat di AS

EL PASO: Calon presiden Democrat, Beta O’Rourke, menuduh Presiden Donald Trump mencetuskan kebencian selepas kes tembakan di Texas yang disiasat polis sebagai kemungkinan jenayah benci.

Bercakap kepada wartawan di luar hospital di El Paso ketika melawat mangsa tembakan, O’Rourke berkata Trump sudah membuktikan dirinya bersikap rasis dengan serangan lisan ke atas empat ahli Kongres wanita daripada etnik minoriti dan pernah melabelkan rakyat Mexico sebagai perogol.

“Beliau rasis dan menyemarakkan rasisme di negara ini.

“Dan ia bukan sekadar menyinggung perasaan, ia mengubah ciri negara ini dan ia membawa kepada keganasan,” katanya.

Beliau berkata, Amerika Syarikat menunjukkan peningkatan dalam jenayah benci sejak tiga tahun lalu sepanjang pentadbiran yang menyaksikan presiden menggelar rakyat Mexico sebagai perogol dan penjenayah.

O’Rourke berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai manifesto ditulis penyerang yang membantah pencerobohan golongan Hispanik di Texas, yang bersempadan dengan Mexico.

Lebih 80 peratus penduduk El Paso berketurunan Hispanik, menurut perangkaan bancian AS.

Suspek yang disoal siasat polis berhubung tembakan itu tidak dinamakan pihak berkuasa, walaupun media AS mengenal pasti dia sebagai Patrick Crusius, berusia 21 tahun yang tinggal di pinggir Dallas, Texas. — AFP

Berita Harian X