Isnin, 5 Ogos 2019 | 11:17am
Orang ramai meletakkan jambangan bunga di luar bangunan Walmart di El Paso, Texas susulan insiden tembakan rambang yang mengorbankan 20 mangsa, semalam. - Foto AFP

Walmart mahu terus jual senjata

NEW YORK: Gergasi sektor peruncitan Amerika Syarikat, Walmart tidak bercadang untuk menghentikan penjualan senjata dan peluru, walaupun selepas dua insiden tembakan membabitkan dua pasar raya miliknya.

“Kami sentiasa memberi tumpuan untuk menyokong rakan, pelanggan dan seluruh masyarakat El Paso,” kata jurucakap Walmart, Randy Hargrove.

Pada Sabtu lalu, seorang lelaki melepaskan tembakan rambang di sebuah pasar raya Walmart di Texas, mengakibatkan 20 terbunuh.

Ia berlaku empat hari selepas seorang pekerjanya menembak dua rakan sekerja dan mencederakan seorang anggota polis di sebuah rangkaian pasar raya itu di Mississippi.

Susulan kejadian tembakan di El Paso itu, Ketua Pegawai Eksekutif Walmart, Doug McMillon memuat naik nota di Instagram, bagi menyatakan rasa tidak percaya beliau terhadap kejadian yang berlaku dalam tempoh tidak sampai seminggu itu.

“Hati saya berada sangat sedih dengan kejadian yang menimpa masyarakat di El Paso, terutama rakan dan pelanggan di kedai 2201 dan keluarga mangsa.

“Saya berdoa untuk mereka dan harap anda semua akan bersama-sama saya (berdoa),” katanya.

Pengasas Walmart, Sam Walton amat meminati pelbagai jenis pistol, hingga mendorong pengeluar pistol terkenal Amerika Syarikat, iaitu Remington menamakan satu model senapang memburu bersempena dengan namanya.

Namun, Walmart hanya menyasar penjualannya kepada pemburu dan peminat sukan menembak. - AFP

Berita Harian X