Isnin, 5 Ogos 2019 | 10:41pm
ANGGOTA polis mengawal di lokasi kejadian tembakan di El Paso. - Foto AFP

Media punca serangan di El Paso, Dayton - Trump

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menyalahkan apa yang digelarnya ‘Berita Palsu’ kerana memupuk ‘kemarahan dan keganasan’ susulan dua kes tembakan yang meragut 29 nyawa, satu daripada kejadian itu dianggap sebagai keganasan domestik.

Dalam tweet pagi ini, Trump berkata media bertanggungjawab mengawal kehidupan dan keselamatan di Amerika Syarikat.

“Berita palsu menyumbang kepada kemarahan dan keganasan yang dipupuk sekian lama.

“Liputan berita perlu mula adil, seimbang dan tidak berat sebelah, atau masalah ini akan bertambah teruk,” katanya.

Tweet itu ditulis pada hujung kemarahan mengenai kes tembakan di El Paso dan Dayton semalam, yang menyaksikan 29 ditembak mati dalam masa tidak sampai 24 jam.

Terdahulu, Trump menyatakan sokongan kepada pemeriksaan latar belakang lebih ketat bagi pembelian senjata, kemudian menegaskan sebarang perundangan berkaitan dengan pembaharuan imigresen.

Tiada kaitan jelas antara dua kes itu dan pembaharuan imigresen.

Suspek di El Paso, Patrick Crusius, dipercayai pelampau kulit putih dan polis menyiasat serangan itu sebagai tindakan keganasan domestik.

Kini, Trump mengalihkan kemarahan kepada media dan menuduh wartawan juga perlu dipersalahkan di atas penularan keganasan senjata di AS. — Agensi

Berita Harian X