Selasa, 6 Ogos 2019 | 7:57am
DONALD Trump

Presiden Donald Trump akan lawat El Paso Rabu ini

EL PASO: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijadual akan melawat El Paso, Texas esok susulan insiden tembakan rambang yang membunuh 22 orang, kata datuk bandar tempatan.

“Presiden Trump menelefon saya semalam. Beliau juga bermurah hati menawarkan sebarang bentuk bantuan yang termampu,” kata Dee Margo dalam satu sidang media semalam.

“Beliau akan akan datang ke sini pada Rabu.”

Susulan kejadian itu, pembangkang menuduh Trump membantu memupuk rasa kebencian terhadap kumpulan etnik minoriti dengan retorik beliau yang bersifat memecah belahkan.

Malah sebahagian penduduk tempatan El Paso yang kebanyakannya adalah Hispanik berkata kedatangan presiden itu tidak dialu-alukan.

Margo yang juga anggota parti Republikan pimpinan Trump tetap menyokong kuat dan mempertahankan prospek kunjungan itu.

“Sudah menjadi tanggungjawab formal saya mewakili pejabat datuk bandar El Paso untuk mengalu-alukan kedatangan presiden AS,” katanya kepada wartawan.

“Saya akan meminta Presiden Trump menyokong penuh usaha kita dengan segala bantuan dan sumber persekutuan yang ada.”

Kejadian tembakan rambang di dua lokasi, El Paso dan Dayton kelmarin menyaksikan 29 terbunuh dalam masa tidak sampai 24 jam.

Tiada kaitan jelas antara dua kes itu dengan pembaharuan imigresen.

Suspek serangan El Paso dipercayai pelampau kulit putih dikenali sebagai Patrick Crusius.

Polis bagaimanapun menyiasat serangan itu sebagai tindakan keganasan domestik. - AFP

543 dibaca
Berita Harian X