Rabu, 7 Ogos 2019 | 3:16pm
Anggota polis New York mengawal lokasi tembakan lewat malam di Times Square. - Foto CNN

Times Square kecoh susulan kes tembakan

NEW YORK: Kes tembakan lewat semalam mencetuskan panik di Times Square, ketika kemarahan dan kekecewaan mencengkam penduduk Amerika Syarikat selepas dua kejadian berlaku di negara itu.

Ada kenyataan bercanggah daripada pelancong sama ada tembakan dilepaskan daripada motosikal atau pergaduhan yang berlaku di 42nd Street.

Polis New York masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai apa sebenarnya berlaku.

Beberapa keluarga dilihat menangis di 44th dan 45th Street di English Avenue selepas pelancong mula berlari bertempiaran.

Menurut beberapa saksi, mereka mendengar bunyi kuat, kemungkinan daripada enjin motosikal, dan semua orang mula berlari ke semua arah.

Mereka berlari memasuki pusat beli belah, hotel, restoran di tengah ketakutan kes tembakan, susulan kejadian di Texas dan Ohio yang meragut 31 nyawa.

Jabatan Polis New York dan ambulans dilihat di kawasan itu dalam masa beberapa minit manakala beberapa pertunjukan pentas di Broadway digantung serta-merta.

Paramedik dilihat merawat beberapa keluarga sebaik keadaan kembali tenang.

Seorang saksi memberitahu, ada pergaduhan di 42nd Street yang mencetuskan pani.

Orang ramai yang menyaksikan persembahan popular Broadway melompat naik ke atas pentas di tengah ketakutan, menyebabkan pertunjukan dihentikan. — Agensi

Berita Harian X