Rabu, 7 Ogos 2019 | 6:57pm
Calon presiden 2020 Demokratik dan bekas Naib Presiden Amerika yarikat (AS), Joe Biden berucap di Persidangan Tahunan AS, di San Diego, California. - Foto REUTERS

'Mulut bisa' Trump punca kejadian tembakan di AS - Biden

LOS ANGELES: Calon presiden kegemaran Democrat, Joe Biden, menuduh Presiden Donald Trump menyemarakkan pelampau kulit putih yang dipersalahkan bagi beberapa kes tembakan beramai-ramai di Amerika Syarikat.

Biden, 76, berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan beliau hari ini di Iowa selepas dua tembakan hujung minggu lalu di AS.

Dalam kejadian pertama Sabtu lalu, seorang penyerang menembak mati 22 orang di El Paso, Texas.

Sementara kejadian kedua berlaku di Dayton yang meragut sembilan nyawa termasuk kakak penyerang.

Retorik Trump, termasuk menyifatkan cubaan penduduk Amerika Tengah memasuki AS sebagai ‘pencerobohan’ dan dasar keras imigresen mendedahkan beliau kepada kecaman sejak kejadian di El Paso.

“Berapa jauh kenyataan Trump ‘ini adalah pencerobohan’ dengan penembak di El Paso mengumumkan serangannya adalah reaksi kepada pencerobohan Hispanik di Texas?

“Tidak jauh langsung. Dalam bahasa yang jelas dan dalam bentuk kod, presiden menyemarakkan pelampau kulit putih di negara ini,” kata Biden, menurut salinan ucapannya.

Pembantu Trump menafikan retorik itu punca kejadian.

Dalam ucapannya kepada rakyat AS, presiden mencadangkan undang-undang pembaharuan kesihatan mental, kerjasama dengan media untuk mengesan penembak dan menjauhkan senjata daripada mereka yang dianggap ganas. — Reuters

Berita Harian X