Jumaat, 9 Ogos 2019 | 7:15am
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan di lokasi pesawat ringan terhempas di Upper Moreland, Pennsylvania. Foto Agensi

Tiga maut pesawat ringan terhempas di kawasan kediaman

NEW YORK: Tiga penumpang maut, selepas sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan belakang sebuah kediaman di Philadelphia semalam.

Menurut polis tempatan, pesawat penumpang satu enjin itu terhempas kira-kira jam 6 pagi (waktu tempatan) di Upper Moreland, Pennsylvania, kira-kira 32 kilometer dari Philadelphia.

Polis dalam satu kenyataan berkata, mereka menerima panggilan daripada seorang penduduk, mengenai sebuah pesawat yang terhempas di kawasan belakang rumahnya.

“Polis berjaya mengesahkan bahawa pesawat itu membawa tiga penumpang dan kesemuanya terbunuh,” kata polis Upper Moreland.

Kenyataan itu juga menyebut, mangsa adalah pasangan suami isteri, yang masing-masing berusia 60 tahun dan 54 tahun serta anak perempuan mereka berusia 19 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Upper Moreland, Michael Murphy memberitahu wartawan, tiada penduduk di kawasan kejiranan itu yang cedera.

“Serpihan pesawat terbabit dijumpai bertaburan di kawasan belakang empat kediaman,” katanya pada satu sidang media. - AFP

646 dibaca
Berita Harian X