Jumaat, 9 Ogos 2019 | 9:10am
Aktivis pembaharuan undang-undang mengenai senjata mengadakan bantahan di hadapan ibu pejabat Persatuan Senjata Kebangsaan di Fairfax, Virginia. Foto AFP

Pelobi senjata bantah peraturan lebih ketat miliki senjata

WASHINGTON: Ketua Eksekutif Persatuan Senjata Kebangsaan (NRA), Wayne LaPierre menolak gesaan mengenakan sekatan lebih tegas ke atas penggunaan senjata, atas alasan ia tidak mampu mencegah berlakunya insiden tembakan rambang seperti di Texas dan Ohio.

Persatuan itu dianggap sebagai pelobi senjata paling berpengaruh di Amerika Syarikat.

LaPierre yang juga Naib Presiden Eksekutif persatuan itu berkata, beliau sudah berbincang dengan Presiden Donald Trump mengenai perkara berkenaan, selepas insiden pembunuhan yang mengorbankan 31 mangsa.

“Saya tidak bercadang untuk mendedahkan mengenai perbualan peribadi dengan Presiden (Donald) Trump dan pemimpin lain mengenai isu ini.

“Tetapi saya boleh mengesahkan bahawa NRA membantah sebarang peraturan tidak adil yang melanggar hak rakyat yang mematuhi undang-undang.

“Kebenaran memang memeritkan, kerana cadangan yang dibincangkan oleh pelbagai pihak itu tidak akan menghalang tragedi ngeri seperti di El Paso dan Dayton,” kata LaPierre dalam satu kenyataan.

Trump tidak pernah mengakui secara terbuka beliau pernah berbincang dengan LaPierre mengenai kejadian tembakan itu.

Namun, The Washington Post yang memetik sumber melaporkan bahawa ketua NRA itu memberi amaran kepada Trump dalam satu perbualan telefon pada Selasa lalu, supaya tidak menyokong sebarang usaha mengadakan pemeriksaan lebih ketat terhadap pemilik senjata.

Bagaimanapun, tidak diketahui siapa yang memulakan panggilan terbabit.

Dalam pada itu, wujud pelbagai gesaan supaya kerajaan menguatkuasa undang-undang senjata lebih ketat, berikutan kejadian tembakan rambang di El Paso, Texas dan Dayton, Ohio.

Semalam, lebih 200 datuk bandar mendesak Dewan Senat Amerika Syarikat supaya meluluskan undang-undang, yang sudah diluluskan oleh Dewan Perwakilan, iaitu dewan lebih rendah.

Undang-undang itu mengkehendaki pemeriksaan latar belakang lebih menyeluruh mana-mana individu yang ingin membeli senjata, selain mengawal jualan senjata terpakai.

Bagaimanapun, LaPierre berkata, peraturan yang masih dalam perbincangan itu, tetapi tidak dinyatakan secara jelas, akan menyebabkan jutaan rakyat Amerika Syarikat berasa kurang selamat dan tidak mampu melindungi diri mereka serta orang tersayang.

Baru-baru ini, Trump menyatakan sokongannya terhadap undang-undang itu, yang mampu menghalang penjualan senjata kepada mana-mana individu yang mengalami masalah kesihatan mental. - AFP

330 dibaca
Berita Harian X