Jumaat, 9 Ogos 2019 | 3:52pm
Seorang pegawai polis bercakap dengan penunjuk perasaan anti-Trump yang berdiri di luar Pusat Perubatan Universiti, di mana Presiden A.S. Donald Trump mengadakan pertemuan dengan responden pertama berikutan tembakan hujung minggu lalu di kedai Walmart, di El Paso, Texas, AS. - Foto REUTERS

Polis tahan lelaki bawa senjata, peluru masuk Walmart

MISSOURI: Polis menahan seorang lelaki yang berjalan masuk ke kedai Walmart dengan memakai baju perisai, membawa raifal berisi penuh dan 100 butir peluru di Springfield semalam.

Ia mencetuskan kebimbangan pelanggan dalam masa tidak sampai seminggu dua kes tembakan yang mengejutkan Amerika Syarikat.

Tiada tembakan dilepaskan dalam kejadian semalam dan motif lelaki itu tidak dapat dipastikan, kata polis Springfield dalam kenyataan atas talian.

“Seorang lelaki kulit putih bersenjata dalam lingkungan 20-an ditahan pegawai polis tidak bertugas yang mempunyai senjata sehingga pegawai tiba di lokasi dan menahannya,” menurut kenyataan menceritakan kejadian kira-kira 4.00 petang waktu tempatan di barat daya Springfield.

Dia ditahan selepas berjalan masuk ke kedai itu dengan senjatanya.

Tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu membuat sebarang ancaman atau melakukan jenayah.

Identitinya tidak disiarkan dan tiada maklumat penangkapan diperoleh.

Polis percaya lelaki itu berniat melakukan kekecohan, tetapi mereka turut menyiasat motifnya.

“Keadaan amat menakutkan dan bahaya,” kata polis di tempat kejadian, menambah mereka menyiasat akaun media sosial lelaki itu untuk cuba memastikan ada ancaman dibuat.

Perbahasan mengenai keselamatan senjata tercetus semula dengan kes tembakan di Texas yang membunuh 22 orang di kedai Walmart El Paso Sabtu lalu, beberapa jam sebelum satu lagi kes berlaku di Dayton, Ohio, yang meragut sembilan nyawa. — Reuters

300 dibaca
Berita Harian X