Jumaat, 9 Ogos 2019 | 11:11pm
Trump tidak menolak pertemuan keempat antara beliau dan Jong-un. -Foto Reuters

Trump terima 'surat indah' daripada Jong-un

WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata hari ini, beliau menerima sepucuk surat indah semalam daripada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un serta tidak menolak pertemuan keempat antara mereka.

Bercakap kepada media, Trump bagaimanapun tidak mengatakan bila pertemuan itu akan diadakan.

Korea Utara kini menjalankan siri ujian peluru berpandu walaupun Trump dan Jong-un mengadakan pertemuan ketiga 30 Jun lalu yang mana kedua-duanya bersetuju menghidupkan semula rundingan yang terhenti.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata Rabu lalu, beliau berharap pertemuan dapat diteruskan dan negaranya merancang mengadakan rundingan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Pertemuan antara Trump dan Jong-un di Hanoi Februari lalu gagal mengurangkan jurang berkaitan tuntutan AS supaya Korea Utara menghentikan semua program senjata nuklear dan tuntutan Pyongyang untuk pengunduran sekatan menghukum. -Reuters

Berita Harian X