Sabtu, 10 Ogos 2019 | 9:39am
Gambar CCTV ini oleh KTSM 9 News Channel, menunjukkan lelaki bersenjata yang dikenal pasti sebagai Patrick Crusius (gambar kecil), 21, memasuki kedai Cielo Vista Walmart dan menembak mati 22 pelanggan di El Paso, semalam. - Foto AFP

Penembak El Paso jadikan rakyat Mexico sasaran

WASHINGTON : Pemuda Texas berusia 21 tahun yang menembak mati 22 pelanggan di Walmart El Paso memberitahu polis bahawa dia menjadikan rakyat Mexico sebagai sasaran, lapor dokumen penahanan disiarkan media Amerika Syarikat (AS) semalam.

Dokumen berkenaan mendakwa Patrick Crusius dari Allen, Texas dengan tuduhan membunuh, dan turut menceritakan detik penahanan suspek dengan berkata, lelaki terbabit keluar dari kereta sebaik dikepung pihak polis dan mengaku sebagai penembak.

Menurut laporan diperoleh The Washington Post dan beberapa media lain, Crusius sebaik dibawa ke ibu pejabat polis mengenepikan hak untuk berdiam diri atau melantik peguam dan memberitahu penyiasat bahawa dia menjadikan rakyat Mexico sebagai sasaran.

Sebelum melakukan pembunuhan berkenaan pada Sabtu lalu, pemuda itu menerbitkan manifesto pelampau kulit putih di internet yang menceritakan mengenai kebimbangan terhadap ‘pencerobohan Hispanik di Texas.

Lapan individu yang maut dalam tragedi berkenaan terdiri daripada rakyat Mexico manakala sebilangan besar mangsa lain adalah warga negara Amerika berketurunan Hispanik.

Dalam manifesto itu, Crusius mendakwa dia mempertahankan AS daripada penggantian budaya dan etnik yang dibawa menerusi pencerobohan serta menjadikan tragedi Christchurch, New Zealand sebagai contoh.

El Paso mengambil masa 6 jam pemanduan dari Allen iaitu tempat asal Crusius dan dia didapati sengaja memilih bandar berkenaan kerana majoriti penduduk adalah berketurunan Hispanik.

Bandar terbabit terletak di sepanjang Sungai Rio Grande yang menjadi sempadan antara AS dan Mexico.

El Paso dihuni 680,000 penduduk dengan 83 peratus daripada mereka berketurunan Hispanik. - AFP

519 dibaca
Berita Harian X