Ahad, 11 Ogos 2019 | 3:58pm
POLIS tiba di Pusat Pemulihan Metropolitan di pinggir Manhattan untuk mengambil mayat Jeffrey Epstein. - Foto REUTERS

Jutawan pedofilia bunuh diri

NEW YORK : Jutawan Jeffrey Epstein menemui ajal selepas menggantung diri di dalam sel penjara, semalam.

Dia ditemui dalam keadaan mengalami serangan jantung sejurus sebelum jam 7 pagi semalam (waktu tempatan) di Pusat Pemulihan Metropolitan di pinggir Manhattan.

Epstein dikejarkan ke Hospital New York Downtown sebelum disahkan meninggal dunia.

Pusat Pemulihan Metropolitan dalam satu kenyataan berkata, kematian Epstein kini sedang disiasat oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Bekas pakar kewangan yang berusia 66 tahun itu sedang menanti perbicaraan atas tuduhan konspirasi dan pemerdagangan seks serta ditahan di penjara kawalan ketat tanpa dibenarkan untuk diikat jamin.

Epstein yang sebelum ini terkenal kerana memiliki rakan berprofil tinggi termasuk Putera Andrew serta Presiden Bill Clinton ditahan pada 6 Julai lalu, atas tuduhan mengadakan hubungan seks dengan puluhan gadis di bawah umur di kediamannya di New York City dan Florida, antara tahun 2002 dan 2005.

Dia mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan.

Kematian Epstein berlaku hanya dua minggu selepas dia dimasukkan ke hospital akibat cuba membunuh diri.

Sebelum itu pada 24 Julai lalu, dia dikejarkan ke hospital di bawah pengawasan polis selepas ditemui dalam keadaan separuh sedar di lantai sel penjara yang dihuninya. - Agensi

Berita Harian X