Isnin, 12 Ogos 2019 | 10:09pm
Bomba sedang sedang menyiasat punca satu kebakaran di sebuah rumah pengasuh di Erie, Pennsylvania sehingga mengorbankan lima kanak-kanak. - Foto AFP

5 kanak-kanak maut kebakaran di rumah pengasuh

WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat, hari ini, memaklumkan pihaknya sedang menyiasat punca satu kebakaran di sebuah rumah pengasuh di Erie, Pennsylvania sehingga mengorbankan lima kanak-kanak.

Ketua bomba Erie, Guy Santone berkata, kanak-kanak itu berusia antara lapan bulan hingga tujuh tahun sedang tidur di tingkat atas, ketika kebakaran berlaku, awal semalam.

Katanya, bomba tiba di lokasi kira-kira 25 minit kemudian dan mendapati api besar keluar dari semua tingkap tingkat pertama dan terdapat laporan ada kanak-kanak terperangkap.

“Justeru, bomba mula memadamkan kebakaran, sementara kumpulan bomba lain masuk ke tingkat ini dengan tangga untuk masuk ke bilik tidur terbabit.

“Kami berjaya mengeluarkan lima kanak-kanak kecil, namun malang semuanya meninggal dunia,” katanya.

Wanita yang mengendalikan perkhidmatan itu di rumahnya, Elaine Harris, berlari keluar dari api dan cuba memandu sendiri ke hospital namun terbabas, ketika dalam perjalanan, katanya. Beliau kemudian diterbangkan ke Pittsburg untuk rawatan.

Santone memaklumkan kepada New York Times bahawa salah seorang mangsa adalah anak Harris dan empat lagi adalah adik beradik yang ditinggalkan ibu bapa mereka kerana bekerja syif malam.

Dua kanak-kanak yang dikatakan anak lelaki Harris mengalami cedera ringan selepas terjun dari tingkat atas rumah kayu dua tingkat itu.

Santone berkata, penyiasat menumpukan kebakaran akibat litar pintas, namun siasatan masih belum selesai. - AFP

Berita Harian X