Selasa, 13 Ogos 2019 | 8:54am
Kam McLeod (kiri) dan Bryer Schmegelsky. - Foto Reuters

Suspek tiga pembunuhan ditemui mati bunuh diri

OTTAWA : Pihak berkuasa mengesahkan penemuan dua mayat dipercayai suspek tiga pembunuhan yang bertindak membunuh diri selepas beberapa minggu diburu polis.

Polis persekutuan dalam satu kenyataan semalam berkata, dua mayat itu ditemui di dalam hutan dengan kesan tembakan.

“Polis percaya mereka membunuh diri menggunakan senjata api,” kata kenyataan itu.

Kam McLeod, 19 dan Bryer Schmegelsky, 18, yang dikehendaki atas pembunuhan seorang lelaki Australia dan teman wanitanya serta seorang profesor di universiti Kanada, melarikan diri sejak beberapa minggu lalu selepas polis melancarkan gerakan memburu mereka secara besar-besaran.

Terdahulu, kedua-duanya dilaporkan hilang selepas kenderaan dinaiki mereka dijumpai terbakar di wilayah British Columbia, namun dua pemuda itu diisytiharkan sebagai suspek utama pembunuhan susulan penemuan mayat ketiga.

Minggu lalu, polis menemui beberapa barang yang memiliki kaitan dengan suspek di tebing Sungai Nelson dan turut menjumpai sebuah bot aluminium.

Mayat keduanya ditemui di sebuah semak di bahagian tengah wilayah Manitoba, kira-kira lapan kilometer dari lokasi sebuah kenderaan dibakar milik salah seorang mangsa, yang dijumpai pada 22 Julai lalu.

Polis tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kematian dua suspek berkenaan tetapi terdapat petunjuk jelas yang mengesahkan mereka masih hidup beberapa hari sejak kali akhir dilihat berada berhampiran pekan Gillam, Manitoba.

Mereka dikehendaki atas pembunuhan Lucas Frowler, 23 dari Australia dan teman wanitanya, rakyat Amerika, Chynna Deese, 24 yang ditemui mati ditembak pada 15 Julai di lebuh raya British Columbia. - AFP

4739 dibaca
Berita Harian X