Ahad, 1 September 2019 | 7:24am
Gambar menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan kesan peluru pada tingkap selepas lelaki bersenjata menembak secara rawak di lebuh raya I-20 antara Odessa dan Midland, Texas. -Foto AFP

5 termasuk penembak maut di AS

TEXAS: Lima orang termasuk seorang penembak maut manakala kira-kira 21 lain cedera dalam serangan senjata di bandar Midland dan Odessa di barat Texas, Amerika Syarikat (AS) semalam, kata polis dan laporan stesen televisyen tempatan.

“Penembak aktif ditembak dan maut di Cinergy, Odessa. Tiada penembak aktif ketika ini. semua agensi sedang menyiasat laporan mengenai suspek,” kata polis Midland di Facebook, merujuk kompleks pawagam di Odessa.

Polis Odessa sebelum ini berkata, ia percaya ada dua penembak dalam dua kenderaan berasingan memandu di sekitar bandar didiami 117,000 orang yang menembak ke arah sasaran rawak.

Datuk Bandar Midland, Jerry Morales memberitahu CNN, penembak ditembak dan terbunuh di lot parkir sebuah pawagam.

“Kami berharap hanya ada seorang penembak dan kami sudah membendungnya,” katanya.

Morales berkata, beliau tidak tahu apa-apa mengenai suspek atau motifnya. Katanya, seorang pegawai polis ditembak dan kini menjalani pembedahan untuk kecederaan tidak mengancam nyawa.

“Ketika ini ada beberapa mangsa tembakan. Suspek merampas sebuah trak perkhidmatan pos AS,” kata jabatan polis.

Saluran sekutu CBS, CBS7 melaporkan, sekurang-kurangnya tiga pegawai polis antara yang cedera.

Polis Midland berkata, seorang suspek memandu van Pejabat Pos AS dan yang lain sebuah trak emas dan putih Toyota.

CBS7 melaporkan, ia menerima tiga pesakit dalam keadaan kritikal dan tiga lagi stabil.

Stesen televisyen itu melaporkan, polis bersenjata menyerbu Music City Mall di Odessa di mana letaknya ibu pejabat CBS7 dan bangunan itu dikepung.

Insiden tembakan itu berlaku selepas 22 orang terbunuh di gedung Walmart sejauh 410 kilometer di barat Midland di bandar El Paso, di sini pada 2 Ogos lalu. -Reuters

Berita Harian X